NABILA kongsi petua pada pelakon yang serius ceburi bidang itu.
NABILA kongsi petua pada pelakon yang serius ceburi bidang itu.
Georgie Joseph


Menjadi antara pelakon wanita paling disegani dalam industri sekian lamanya, Nabila Huda kerap disebut inspirasi terbaik buat pendatang baharu. Profil cemerlangnya mendapat sanjungan tinggi.

Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 38, bagaimanapun mendapati ekosistem industri lakonan sekarang sudah sedikit berbeza. Terutama daripada segi niat pelakon untuk ceburi bidang itu.

Justeru, menurutnya dia bersikap sangat memilih kepada siapa dia menurunkan petua untuk menjadi pelakon bagus. Kalau pelakon itu tidak serius, katanya, dia rasa tiada keperluan buatnya kongsi nasihat.

"Kebanyakan pelakon sekarang, mereka ada kepentingan peribadi sendiri. Maksudnya mereka berlakon bukan sebab mereka betul-betul nak jadi pelakon. Kita boleh nampak, bukan saya main tuduh atau jatuh hukum.

"Mereka mungkin lebih kejar populariti, masuk TV, terkenal, memiliki harta benda, nak disanjungi atau dipuji. Bukan sebab 'passion'. Saya bermaksud bukan semua. Ada juga yang betul-betul jujur nak jadi pelakon.

"Itu bagus, ada yang jumpa saya memang hormat. Yang cakap nak sangat jadi macam saya. Yang begitu, saya akan kongsi petua boleh bagi," katanya.

Pelakon filem Rahsia itu percaya pelakon yang tidak memberi sepenuh hati dan ada kepentingan peribadi lain takkan pergi jauh. Bahkan natijahnya pasti akan dirasa pada kemudian hari.

"Tapi, saya nampak segelintir yang tak berapa berminat sangat, saya rasa tak perlu nak nasihat atau apa. Biar mereka buat apa saja yang mereka suka. Nanti suatu hari mesti menyesal.

"Masing-masing pun dah besar, tak payah kita nak nasihat. Kita pun bahagia saja dengan hidup kita. Nanti kalau cakap, nasihat, orang lagi benci dengan kita," katanya.

Baru-baru ini juga heboh apabila Nabila meninggalkan komen mempersoal siapa penyanyi Masya Masyitah menjadi bahan berita portal. Ada beranggapan mungkin pelakon itu berlawak.

Bagaimanapun, dia mengakui tidak tahu-menahu mengenai Masya. Justeru, apabila berita penyanyi itu menanggalkan tudung tersebar, timbul rasa ingin tahu juga.

"Saya tak tengok langsung media sosial. Saya tak baca berita, hidup saya yang orang nampak di Instagram, itu saja. Saya memang tak tahu apa-apa berita.

"Jadi, bila tengok berita keluar, saya musykil siapa pula Masya Masyitah? Jadi, saya tulis (komen) di sana bertanya siapa pula dia, kenapa saya tak tahu? Saya pun manusia biasa yang nak cakap sesuatu.

"Tapi, tak adalah cakap yang buruk-buruk pun. Cuma saya pun rasa ingin tahu juga sebab kadang-kadang bila saya komen untuk bertanya, ada ramai orang jawab sampai puluhan komen," katanya.

Nabila juga mengakui ada baiknya apabila dia menggunakan pendekatan tinggalkan komen di blog atau portal. Dari situ dia mendapat sumber jawapan yang diharapnya tanpa perlu bertanya orang terdekat.

"Jadi, saya tak perlu bertanya dengan kawan-kawan, baca saja kat situ (balasan komen). Kalau saya dah taip komen, saya sudah lupa. Saya sudah teruskan kehidupan macam biasa.

"Bila dimaklumkan komen saya tanya siapa Masya Masyitah masuk portal, terus pening. Saya tak ada niat, memang betul pun nak bertanya, tapi dah terlupa," katanya.

Dalam pada itu, Nabila berkongsi kejadian menarik ketika dia menjayakan penggambaran filem Rahsia arahan Shamyl Othman yang memasuki panggung 10 Ogos ini.

Menurutnya, suaminya, Mohd Izwan Johar tidak selesa bertemunya ketika dia pulang rumah kerana dirinya menjadi seorang yang serius dan berperangai seperti orang lain.

"Saya rasa saya normal, biasa sahaja ketika berlakon filem ini. Jadi, selepas dua minggu, saya pulang rumah bertemu suami, anak sebab rindukan mereka dan keluar bersama.

"Namun, selepas itu suami saya kata dia tidak selesa untuk keluar bersama saya sebab saya nampak lain. Kemudian saya tanya dia, lain yang bagaimana.

"Rupanya Keisha dan suami sudah berbincang, mereka kata perangai saya lain. Saya tidak perasan mengenai perubahan itu," katanya.

Nabila yang melakonkan watak Ramlah berkata, disebabkan watak itu, karakternya berubah menjadi agresif dan cepat marah. Justeru, dia perlu mengubahnya serta-merta sebaik pulang rumah.

"Sebab kalau kita berlakon kita akan ambil mood, jadi untuk hilangkan watak itu saya kena ambil kembali mood gembira sebelum masuk rumah. Dalam kereta masih stres memikirkan watak itu, bila sampai rumah saya kena tukar karakter jadi 'happy'.

"Penat nak tukar karakter. Jadi, saya ambil keputusan jumpa mereka kembali selepas penggambaran selesai sepenuhnya. Kemudian bila saya pulang rumah baru suami saya lega dia kata 'isteri saya dah kembali, sebelum itu bukan awak, itu adalah Ramlah. Saya benci Ramlah'.

"Saya dah kembali normal, ceria dan berborak seperti biasa. Sebab sebelum ini suami kata saya berbual, tapi tiba-tiba saya menjadi serius, tengah termenung," katanya.

Selain Nabila, filem itu turut dibintang Fikry Ibrahim, Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman Hafsham dan Susan Lankester.

Rahsia versi asal 1987 pernah mencetuskan fenomena dengan jalan penceritaan yang berkonsepkan misteri 'thriller'.

Ia menjadi filem tempatan pertama yang diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7) serta membolot tujuh anugerah dalam kategori lain, termasuk Pengarah Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 6:00 AM