Nabila Huda
Nabila Huda

Kuala Lumpur : Pelakon Nabila Huda, 40, kesal dengan kenyataan dibuat syarikat produksi, Wiranusa Corporation untuk telefilem Pelangi Yang Hilang lakonannya yang mendakwa sudah melunaskan bayaran berkaitan 'claim' (tuntutan) hutang terhadap mereka.

Nabila menerusi hantaran di Istagram Story menafikan dia sudah menerima bayaran dimaksudkan kerana pihak produksi terbabit tidak pernah berbincang dengannya bagi urusan penyelesaian pembayaran.

"Awak jangan cuba nak menipu masyarakat dengan kenyataan 'playsafe' awak, Wiranusa Corporation. Awak patut bersyukur yang saya ni dah halalkan semuanya dan 'move on'. Tapi awak nak jugak menjawab, rasa bersalah pun takde.

"Macam kita pula yang menipu dan memburukkan syarikat dia. Bila masa pihak syarikat pernah berbincang dan lepas itu awak cakap tak ada kata sepakat yang dapat dibuat?

"Habis tu tak bayar lagi sepakat 'apo'? Yang mesej bertanya itu pun datang dari pihak saya tau. Tak cukup 'relax' lagi ke, saya ni lepas sebulan habis penggambaran baru saya bertanya status pembayaran 'claim' saya?

"Janganlah buat kita yang bermasalah. Macam ni punya orang pun ada ke? Lepas tu awak pula yang nak membuka ruang untuk saya bertemu awak bagi memperjelaskan isu ini? Eh apa punya cara ni..bukan ke awak yang sepatutnya kena sedar ruang sebab ada hutang yang belum diselesaikan?

"Macam mana awak bernafas setiap hari tapi awak masih berhutang dengan orang. Awak tak rasa bersalah ke?," tulisnya panjang lebar seolah meluahkan apa terbuku di hati.

Menurut Nabila, pihak produksi itu tidak perlu bersusah-payah cuba memutar belit cerita, sekali gus berpura-pura menjadi mangsa keadaan, namun mengingatkan agar belajar aspek pengurusan dengan lebih baik.

"Saya ni wujud sebelum wujudnya 'company' (syarikat) awak tau. Jadi, awak janganlah cuba nak putar belit untuk menegakkan benang yang basah. Untuk pengetahuan awak, saya dah tak hairanlah dengan duit 'claim' tu semua.

"Awak sedekahkan saja dengan mereka yang memerlukan. Sementara tengah di bulan Ramadan ini, awak buatlah 'research' (penyelidikan), belajar dulu adab dan 'basic practice' (latihan asas) dalam produksi.

"Insya-Allah dipermudahkan urusan awak untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik di masa akan datang setanding dengan produksi hebat yang lain," tulisnya.

Sebelum ini, Nabila ada

mengeluarkan kenyataan mengenai sebuah produksi yang gagal membayar 'claim' dibuatnya selama dia memberi komitmen terbaik dalam pembikinan telefilem Pelangi Yang Hilang itu.

Selain Nabila, telefilem itu dibintangi Luqman Junaidi, Danish Hazriq dan Asheeqa Maleeyka serta diarahkan Zul Huzaimy yang diambil dari kisah benar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 4:05 PM