NABILA RAZALI
NABILA RAZALI
Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dan pelakon, Nabila Razali menyifatkan komen dan kritikan kasar yang dilemparkan ekoran nyanyian terkucil menerusi lagu Peluang Kedua pada sebuah program siaran langsung baru-baru ini mencerminkan keperibadian mereka.

Nabila berkata, dia membaca semua komen yang ditujukan kepada dirinya.

"Kebanyakan komen boleh dikatakan kejam dan keras. Saya baca semuanya.

"Bagaimana keluarga mereka besarkan mereka sehingga mereka sanggup menggunakan kata-kata yang kejam kepada orang yang mereka tak kenal.

"Tulis komen berhemah kerana ia mencerminkan keperibadian sendiri," katanya.

Nabila menerusi video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya bagaimana pun mengucapkan terima kasih kepada peminat dan penyokong yang memberikan sokongan kepadanya.

"Saya bersyukur kerana ramai juga yang mengirimkan mesej peribadi di Instagram dan WhatsApp. Malah ada yang menghubungi dan datang ke rumah kerana mereka ambil berat mengenai saya. Saya hargai semua itu.

"Apabila perkara ini (dikecam) berlaku, saya sedar siapa sebenarnya kawan. Ini adalah realiti kehidupan. Waktu kita di atas, kita dipuji dan bila di bawah, dikeji," katanya.

Penyanyi itu juga tidak menolak insiden yang berlaku disebabkan kurang persediaan sebelum membuat persembahan.

"Saya bukan nak tegakkan benang yang basah. Ia memalukan dan saya kesal dengan apa yang berlaku. Saya kurang memanaskan suara, pemakanan dan sebab lama tak buat persembahan.

"Pada malam itu, saya memang sangat gementar kerana ramai yang meletakkan harapan untuk saya buat persembahan terbaik. Saya sedar akan kesilapan saya dan saya terima komen-komen dengan hati terbuka.

"Saya tak salahkan mana-mana pihak dan saya jadikan apa yang berlaku sebagai iktibar. Ada ruang untuk saya perbaiki diri," katanya.

Menurut Nabila, anak seni juga adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Kami golongan anak seni sama seperti orang lain yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Bezanya, kesilapan kami ditonton dan dinilai jutaan orang.

"Sejak hari pertama masuk industri lagi saya sudah bersiap sedia, namun janganlah menjatuhkan hukum kepada seseorang," katanya.

Nabila juga turut berkongsi nasihat dengan rakan artis supaya tidak mudah tertekan apabila berdepan situasi sama seperti yang dihadapinya.

"Kepada rakan artis, yang kutuk-kutuk itu, mereka tak beli muzik kalian, tak beli tiket untuk menonton filem kalian, tak sokong drama lakonan kalian, tak beli tiket untuk tonton teater kalian.

"Kenapa perlu untuk kita terlalu fikirkan mengenai mereka ini. Teruskan untuk buat apa yang kita boleh buat, tetapkan matlamat dan capai impian kita kerana di penghujung hari, ada peminat, keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa sokong dan percaya dengan diri kita," katanya.

Video nyanyian Nabila tular di media sosial dan menerima kecaman hebat apabila dia 'terkucil' saat menyampaikan lagu barunya, Peluang Kedua di satu acara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:17 PM