MOHD Zailani  (tiga dari kiri) bersama keluarganya bergambar bersama replika Menara Berkembar KLCC yang diperbuat daripada botol mineral bagi menyemarakan semangat patriotik sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-66.
MOHD Zailani (tiga dari kiri) bersama keluarganya bergambar bersama replika Menara Berkembar KLCC yang diperbuat daripada botol mineral bagi menyemarakan semangat patriotik sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-66.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Dengan hanya menggunakan botol minuman terpakai, seorang pelajar sekolah menengah berjaya membina replika Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa, Tanjong Karang, Selangor, Ahmad Afiq, 15, berkata, pembinaan replika itu turut dibantu abangnya, Ahmad Afif, 16, dan bapa mereka, Mohd Zailani Juni, 40.

Katanya, 700 botol minuman terpakai digunakan bagi membina replika KLCC setinggi enam meter itu.

Ahmad Afiq berkata, botol-botol minuman itu dikutip di kawasan sekitar Tanjong Karang, Shah Alam dan Kuala Selangor bermula awal Ogos.

"Kami bukan kutip sekali banyak. Jika tidak cukup botol, baru kami kutip. Daripada situ kami bina sedikit demi sedikit berdasarkan keperluan.

"Masa diperlukan untuk membuat replika KLCC daripada botol-botol terpakai ini adalah setengah bulan bermula daripada tarikh kami kutip pada Ogos itu.

AHMAD Afiq  (kanan) dibantu Ahmad Afif  ketika menyiapkan replika Menara Berkembar KLCC.
AHMAD Afiq (kanan) dibantu Ahmad Afif ketika menyiapkan replika Menara Berkembar KLCC.

"Tujuan dibuat replika KLCC ini adalah kerana di sekolah saya, ada pertandingan kitar semula menggunakan barang-barang terbuang," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Afiq turut menjelaskan, pada mulanya dia mahu membuat menggunakan penyedut minuman bagi membina replika KLCC, namun membatalkan hasratnya.

Dia berkata, penggunaan botol minuman lebih mudah berbanding menggunakan penyedut minuman dan bahan lain yang digunakan adalah gam.

"Pada mulanya, saya hendak hasilkan menggunakan penyedut minuman tetapi saiznya akan menjadi kecil selain sukar untuk dihasilkan.

"Kemudian, ayah dan mak cadangkan supaya menggunakan botol minuman dan ia akhirnya melebihi ketinggian rumah," katanya.

REPLIKA Menara Kuala Lumpur yang dihasilkan.
REPLIKA Menara Kuala Lumpur yang dihasilkan.

Selain itu, katanya, ketika mula-mula membina replika ini, dia juga menggunakan tayar motosikal bapanya sebagai 'acuan' tapak.

"Tayar itu hanya digunakan untuk mendapatkan acuan bulatan sahaja. Selepas itu saya alihkan," katanya

Dia turut menyatakan rasa bangga dengan replika berkenaan malah usahanya itu turut mendapat sokongan ramai.

Berkaitan keputusan pertandingan yang disertainya, Ahmad Afiq memaklumkan, ia akan diketahui selepas cuti sekolah.

"Selepas replika KLCC ini siap, saya juga membantu abang membina replika Menara Kuala Lumpur menggunakan botol terpakai," katanya.

Kedua-dua replika itu diletak di sebelah rumah keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 7:01 AM