GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Zuraimy Ali

Bersempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini, sudah pasti semangat patriotisme dan kenegaraan perlu disemai dalam kalangan seluruh warga Malaysia terutamanya anak muda yang dilihat kian terhakis semangat patriotismenya.

Justeru, usaha mengukuhkan kembali kegemilangan tokoh pejuang kemerdekaan perlu diteruskan oleh generasi masa kini. Hakikatnya, pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu perlu diteruskan generasi kini agar sentiasa bangkit mempertahankan kedaulatan negara seterusnya membina semula kekuatan negara bangsa yang dihasratkan melalui tekad Kerajaan Perpaduan terhadap pelan pertahanan negara.

Bagi menanam semangat kecintaan terhadap negara memerlukan kepemimpinan khususnya kementerian yang bertanggungjawab bersedia membuka peluang untuk setiap warga Malaysia menceburi diri dalam aktiviti sukarelawan dengan meningkatkan keupayaan dan menyusun semula fungsi dan peranan Askar Wataniah sebagai benteng pertahanan kedua bagi memenuhi hasrat dan tekad kerajaan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Di samping itu, usaha meningkatkan ketumbukan kekuatan negara bagi menghadapi segala tantangan dan anasir yang mengancam kedaulatan negara perlu dilaksanakan segera dengan menarik lebih ramai awam menyertai pasukan keselamatan sukarelawan. Untuk itu, agenda memperluaskan pembabitan Askar Wataniah perlu direalisasikan dengan jayanya bagi setiap Parlimen bertujuan menarik minat seluruh warga mendalami dan menghayati semangat mempertahankan negara.

Ironinya, pembabitan rakyat dalam Askar Wataniah mampu memberikan banyak manfaat, antaranya mampu menanam disiplin tinggi, sanggup berkorban demi negara, membantu meningkatkan keyakinan dan nilai baik dalam diri, membina usaha sama dengan jabatan dan agensi lain bagi membantu menyelamatkan nyawa dan harta ketika bencana, memberi nilai tambah terhadap aktiviti kokurikulum, membantu khidmat komuniti setempat dan seterusnya menambah pendapatan di dalam usaha meringankan beban sara hidup.

Untuk itu, sudah sampai masanya pembabitan awam dalam ilmu ketenteraan perlu diterapkan dengan baik supaya ilmu itu mampu memberi impak positif terhadap diri, masyarakat dan negara. Modul Askar Wataniah perlu disesuaikan dengan peredaran zaman dan memenuhi khidmat yang relevan dengan tuntutan semasa sama ada dalam keadaan perang mahupun aman. Justeru, modul yang diterapkan bukan sahaja mengandungi elemen perang, tetapi memenuhi maksud bagi membina jati diri dan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan warga wataniah.

Pelaksanaan dan penerimaan anggota baharu perlu dipermudahkan dengan mengambil kira keperluan semasa bergantung kepada pengurusan dan anggaran belanjawan yang diperuntukkan bagi memastikan penglibatan awam memberi kesan baik dan membantu meningkatkan imej profesionalisme ketenteraan.

Bagi maksud itu, kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan perlu menyediakan kertas cadangan bagi mengupayakan kekuatan Askar Wataniah sebagai melengkapkan kekuatan yang lebih besar dan luas melalui pelaburan modal insan yang mampu memberikan ketumbukan luar biasa. Justeru, usaha bagi meningkatkan kapasiti di setiap Parlimen perlu dipergiatkan dengan memastikan modul, pelaksanaan serta pengambilan anggota baharu dipermudahkan tanpa birokrasi yang panjang.

Ia mampu menjadikan Askar Wataniah sebagai satu aktiviti yang bermanfaat dan menarik minat orang awam untuk menyertainya. Bagi menjayakan hasrat itu, kerajaan perlu dengan segera mewujudkan skim perkhidmatan sukarelawan yang mampu menarik lebih ramai rakyat untuk menyertainya.

Pelaksanaan ini perlu diperkasakan demi membantu meningkatkan kualiti dan keyakinan patriotisme dalam kalangan warga Malaysia melalui inisiatif dan galakan daripada pihak kerajaan. Jika hal ini berjaya direalisasikan dengan penambahbaikan modul dan penyertaan cepat, ia mampu membina kekuatan tenaga manusia di samping meneroka bidang baharu ketenteraan bagi masyarakat awam apabila menyertainya. Kekuatan pertahanan negara memerlukan komitmen semua pihak bagi memastikan usaha murni ini mampu memberi manfaat buat rakyat dan negara Malaysia tercinta. Sudah sampai masanya Malaysia harus ke depan bagi memastikan elemen pertahanan mampu ditingkatkan pada bila-bila masa bagi menghadapi segala tantangan dan ancaman.


Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 6:00 AM