LAGU Menggenggam Bahagia tiada kaitan dengan kisah cintanya.
LAGU Menggenggam Bahagia tiada kaitan dengan kisah cintanya.
Georgie Joseph


SEJAK bertukar pengurusan pada awal tahun lalu, Sufian Suhaimi tampak tidak terlalu drastik dalam merencana kariernya. Berbanding sebelum ini, aturan kerjaya seninya dibuat tanpa terburu-buru.

Sufian, 31, mengakui dalam tempoh itu, perancangan strategik bersama Rusa Music lebih jadi fokus utama. Dia perlu menyesuaikan diri dengan hala tuju terkini bernaung di 'rumah' lain.

Justeru, dia mulakan amanahnya dengan projek pemanasan bekerjasama dengan artis lain dulu. Lagipun, dia sendiri inginkan variasi dalam diskografi muziknya juga.

"Saya sertai Rusa Music sejak awal tahun lalu. Kami sudah buat beberapa projek bukan solo seperti kerjasama lagu raya, lagu raya bersama Sarah Suhairi dan kerjasama dengan Luca Sickta serta Kmy Kmo.

"Sebab utamanya adalah kami percaya itulah percaturan terbaik beradaptasi dengan pengurusan baharu. Ini supaya untuk biasakan pendengar dengan corak lagu yang berbeza.

"Bukan senang untuk membina semula momentum yang pernah saya ada dulu sampai sekarang. Kalau terus keluarkan lagu solo, agak mengejut. Disebabkan itulah kami buat lagu yang ringan-ringan dulu," katanya.

Sudah cukup pemanasan begitu, barulah Sufian dan pengurusan bersedia keluarkan lagu solo.

Katanya, sekarang memang sasaran mereka adalah untuk perbanyak lagu solonya.

SUFIAN buat projek pemanasan bekerjasama dengan artis lain sebelum keluar lagu solo.
SUFIAN buat projek pemanasan bekerjasama dengan artis lain sebelum keluar lagu solo.

"Untuk tahun ini, pengurusan saya merancang ingin keluarkan sebanyak mana lagu solo untuk saya. Saya pun sudah rakam beberapa lagu dan ada satu atau dua lagu lagi bakal dilancar," katanya.

Jika dihitung, banyak sebenarnya lagu yang Sufian sudah keluarkan. Lagu hit seperti Terakhir, Di Matamu, Terasa Ada masih diingati dan disukai pendengar sehingga saat ini.

Hanya perlu tambah beberapa lagu lagi, dia sebenarnya sudah boleh hasilkan album penuh. Ditanya mengenainya, Sufian memang mendambakan untuk ada album secepat mungkin.

Bagaimanapun, baginya soal kreativiti dalam hal berkarya tidak boleh dipaksa. Apalagi dia sendiri sangat menitikberatkan soal kualiti karya, baginya mendapat hasil terbaik perlukan masa juga.

"Saya sangat terbuka sebenarnya untuk buat album mini. Hakikatnya pengurusan pun sangat galakkan untuk buat album penuh. Cuma, batasannya bagi saya adalah aspek kreativiti.

"Kami belum cukup material untuk hasilkan satu album penuh. Tapi memang cita-cita saya mahukan ada satu album tak kisahlah album mini. Tak mustahillah impian itu akan terjadi tak lama lagi," katanya.

Bersama Rusa Music, sebenarnya Sufian sudah ada beberapa lagu dipilih dan siap dirakam untuk dijadikan single solonya akan datang, Menggenggam Bahagia yang baru dilancarkan antara dalam koleksi.

Menariknya, dia terus meletakkan kepercayaan kepada rakan baiknya yang juga komposer, Sirkhan, Sang Hitam dan Ibnu Rinkarnaen.

Katanya, dia hargai jasa mereka dan ingin lakar kejayaan bersama.

"Saya, Sirkhan, Sang Hitam dan Ibnu Rinkarnaen ada satu hubungan yang baik. Bukan saja dalam industri tapi luar juga. Selain itu mereka adalah komposer terawal bekerja dengan saya.

SUFIAN mahu rancak lancar lagu solo semula.
SUFIAN mahu rancak lancar lagu solo semula.

"Jadi untuk lagu solo pertama bersama Rusa Music, saya memilih lagu ciptaan mereka Menggenggam Bahagia. Bukan saja lagu itu bagus, tapi ada elemen sentimental juga dengan mereka," katanya.

Sufian juga dapati sebenarnya pendengar masih melekat dengan corak karya pop balada mendayu yang selalu dia sajikan. Katanya, itu juga antara sebab dia pertaruh lagu terbabit.

"Sudah agak lama saya tidak keluarkan lagu pop balada macam biasa orang kenal lagu sayalah. Selepas keluarkan lagu Budi bersama Luca Sickta dan Kmy Kmo, ramai lagi tanya bila saya keluar lagu baharu.

"Jadi, saya rasa apa mereka maksudkan adalah lagu balada yang selalu didengar itulah. Itu antara alasan kenapa kami memilih lagu Menggenggam Bahagia sebagai single solo pertama.

"Saya rasa lagu itu memang ada kualiti yang baik. Daripada segi melodi, susunan muzik, bait lirik pun membawa maksud baik dan senang untuk dinikmati," katanya.

Sufian juga dalam pada itu menafikan lagu berkenaan ada kaitan dengan kisah cintanya. Dia yang kini menjalin hubungan dengan penuntut universiti berkata ilham itu sepenuhnya daripada komposernya.

"Ada yang kata lagu Menggenggam Bahagia adalah mengenai diri saya. Kononnya, saya bakal tamatkan zaman bujang dan sebagainya. Sebenarnya, tidak. Single itu lebih kepada kisah kegetiran hidup seorang daripada komposer lagu ini yang berdepan masalah kewangan ketika pandemik Covid-19. Bayangkan, dia ada anak dan isteri, tetapi mereka tiada wang untuk membeli susu, beras dan hanya ada sepeket mi segera.

"Ujian yang dihadapi itu memberi ilham kepada komposer itu menghasilkan lagu berkenaan supaya isterinya terus bertahan dan sama-sama menggenggam bahagia meskipun berdepan tempoh sukar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 6:20 AM