SINDIR sikap segelintir masyarakat dalam lagu Seloka Jegela Melayu.
SINDIR sikap segelintir masyarakat dalam lagu Seloka Jegela Melayu.
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

Ruangan Reviu kali ini saya tampilkan kelainan dengan bernostalgia. Bukan mengenai filem tempatan seperti kebiasaannya, tetapi mengenai album yang dipasarkan hampir 32 tahun lalu iaitu S.O.L.O daripada Datuk M Nasir.

Secara peribadi, saya merasakan album yang berada di pasaran dalam format kaset pada 13 November 1989 ini antara yang terbaik pernah dihasilkan M Nasir. Baik ketika dia bersama Kembara sebelum itu, ataupun album solonya selepas itu hingga yang terakhir, Sang Pencinta pada 2006.

S.O.L.O adalah album solo pertama M Nasir selepas Kembara dibubarkan. Album solo pertamanya berjudul Untuk Pencinta Seni pada 1979 (menggunakan nama Mohamed MN ketika itu) iaitu sebelum dia menubuhkan Kembara.

Bagi saya, S.O.L.O yang mengandungi 11 lagu diadun dengan cukup baik dari segi susunan muzik, melodi, lirik dan mesejnya. Semua lagu dan lirik dicipta M Nasir sendiri kecuali empat lirik ditulis Bob (Padang Lalang dan Falsafah Cinta), Dr Wan Zawawi (Tari Cinta Rimba Mistikal) dan Allahyarham Loloq (Seloka Jegela Melayu).

Walaupun album diletakkan dalam genre balada nusantara terutama menerusi lagu Mustika, Seloka Jegela Melayu dan Semakin Nyata yang menggabungkan muzik moden dan tradisional Melayu, tetapi saya dapat rasakan pengaruh rock sebenarnya kuat dalam album ini.

Dalam erti kata lain, pengaruh folk rock daripada Kembara masih ketara. Barangkali juga ketika itu pada era 80-an M Nasir memang sibuk dengan rakaman album rock terbitannya seperti Search, Wings, Bloodshed, BPR dan banyak lagi. Jadi, pengaruh itu tidak lari terutama dalam lagu Biarkan Luncai Terjun, Tari Cinta Rimba Mistikal, Falsafah Cinta serta solo gitar dalam lagu Semakin Nyata, Demi Masa dan Yang Bertakhta Akhirnya.

Barangkali juga nama M Nasir ketika itu cukup besar sebagai penerbit album dan komposer lagu popular, jadi pastinya dia akan 'pulun' untuk albumnya sendiri. Dan untuk saya, beliau berjaya melakukannya.

NAMA M Nasir cukup besar sebagai penerbit album dan komposer lagu popular.
NAMA M Nasir cukup besar sebagai penerbit album dan komposer lagu popular.

Nukilan lirik dalam album ini juga cukup bermutu. Ia penuh dengan mesej tersurat dan tersirat. Saya tidak tahu sekarang ada lagi atau tidak lirik sebegini? Rasanya tidak ada.

M Nasir dilihat menyindir sikap segelintir masyarakat (mungkin orang Melayu) dalam lagu Seloka Jegela Melayu dengan bait lirik seperti 'Sia-sialah bahasa yang indah.Tanpa berbudi pekerti sejati' dan lagu Biarkan Luncai Terjun dengan lirik 'Mabuk, amuk dan merajuk. Itulah cogan kata kita. Dan diwarisi dari Pak Tua'.

Lebih menarik adalah lagu Demi Masa yang liriknya ditulis berdasarkan ayat al-Quran iaitu Surah Al-Asr, ayat 1-3 iaitu 'Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran'.

Selain lagu, lirik dan susunan muzik, saya suka mengambil tahu mengenai individu di sebalik pembikinan album terutama pemuzik yang terbabit.

S.O.L.O antara album yang terbaik pernah dihasilkan M Nasir.
S.O.L.O antara album yang terbaik pernah dihasilkan M Nasir.

Untuk album ini, M Nasir menggunakan khidmat pemuzik berpengalaman seperti pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad dan bekas pemain dram Ariwatan, Amry. Bunyian keyboard pula dihasilkan Zulkifli Haji Mahat, bekas pemain gitar The Flybaits, Eddie Marzuki bermain gitar akustik manakala Maniam bermain bongo dan Benny Arjuna memainkan harmonika.

Apa yang menarik, tidak ada nama pada instrumen gitar dan bass dan hanya diletakkan tanda soal. Tidak tahu apa tujuannya, sama ada pereka kulit album terlupa atau ia memang salah satu unsur seni.

Namun, bekas pemain gitar Search, Hillary Ang yang saya dengar daripada mulutnya sendiri mengakui dia bermain lapan lagu untuk rakaman album itu. Bagaimanapun, rakaman bass terus dibiarkan menjadi tanda tanya walaupun ramai yang mendakwa ia dimainkan pemain bass Lefthanded, Yan. Ada juga yang mengatakan penyanyi popular dan legenda, Jay Jay yang bermain bass.

Apapun, secara peribadi ia tetap album M Nasir yang paling saya puas. Sehingga hari ini, ia masih menjadi peneman saya sama ada ketika memandu, membuat kerja di depan laptop atau komputer.

Bagi yang berminat dengan album ini, ia masih boleh didapati di beberapa kedai muzik yang masih 'bernyawa' di era baharu ini atau beli saja di portal beli-belah dalam talian.

• ALBUM: S.O.L.O

• PENYANYI: M Nasir

• PENERBIT: M Nasir

• TERBITAN/EDARAN: PMC/BMG Music

• TARIKH DI PASARAN: 13 November 1989

• ULASAN: Riadz Radzi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 6:50 AM