BADDROL disahkan akan bertanding atas tiket PN. -FOTO NSTP
BADDROL disahkan akan bertanding atas tiket PN. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas pemain Kedah dan Sabah, Baddrol Bakhtiar kemungkinan besar akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Walaupun ketika ini tiada pihak yang membuat pengumuman rasmi berkaitan perkara itu namun sumber dalaman PN memaklumkan kepada Arena Metro bahawa bekas pemain kebangsaan itu akan mewakili parti berkenaan untuk bertanding pada bulan depan.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pemain berusia 35 tahun itu sebelum dia bersetuju untuk 'terjun' dalam bidang politik dengan bertanding pada PRN.

"Betul pemain itu akan bertanding pada PRN atas tiket PN. Surat watikah lantikan akan diberikan pada Isnin ini.

"Berkaitan kawasan yang bakal bertanding akan diumumkan dalam tempoh terdekat," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan terdapat desas-desus Baddrol bakal berkecimpung dalam dunia politik susulan pengumuman Sabah FC memaklumkan pengunduran pemain itu daripada skuad Badak.

Begitupun, tidak dipastikan sama ada khabar angin itu benar dan Baddrol sendiri masih belum mengumumkan hala tujunya selepas ini.

Malah, persoalan turut berlegar dalam kalangan peminat, parti politik mana yang akan disertai pemain kelahiran Kedah itu jika benar dia menyertai PRN kali ini.

Sementara itu, usaha Arena Metro untuk menghubungi Baddrol gagal apabila pemain itu tidak menjawab panggilan dan membalas WhatsApp yang dihantar kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 2:31 PM