BERSYUKUR menerima bayaran lumayan untuk berlakon menerusi medium OTT.
BERSYUKUR menerima bayaran lumayan untuk berlakon menerusi medium OTT.
Ridzuan Abdul Rahman


Dikategorikan ramai pihak sebagai pelakon senior dan berusia. Namun jangan pandang lekeh atau main-main dengan Faizal Hussein.

Pada usianya 56 tahun, anak kepada pasangan pelakon Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail ini masih tegar menempa nama dalam industri seni lakonan tanah air.

Lebih daripada itu, Faizal mengakui masih gagah melakonkan babak aksi sendiri termasuk menerusi drama terbarunya W: Two World yang diadaptasi daripada drama Korea untuk platform penstriman Viu Malaysia.

"Saya bawakan watak Omar Yusof, pelukis komik digital yang juga bapa kepada Daiyan Trisha (Doktor Izara).

Drama arahan Datuk Yusry Abdul Halim ini dibuat ikut acuan budaya tempatan.

"Memang ada masalah kalau ikut versi Korea kerana watak ini digambarkan ketagihan arak. Untuk versi Malaysia, ditukar Omar Yusof dapat pil dari doktor untuk anxiety. Bila dah makan ubat lama-lama dia ketagihan.

"Selain itu, dia juga berdepan konflik dengan anak. Saya terbabit dalam semua episod. Saya tak pandai melukis digital tapi kepandaian Yusry sebagai pengarah buat saya berjaya hidupkan watak ini.

FAIZAL amalkan penjagaan makanan yang betul untuk jaga kesihatan.
FAIZAL amalkan penjagaan makanan yang betul untuk jaga kesihatan.

"Saya dah banyak terbabit dengan platform OTT tapi dengan Viu kali kedua selepas satu drama lain. Cerita ini banyak babak aksi menarik," katanya.

Menurutnya, walaupun adaptasi tetapi mereka yang pernah menonton versi Korea akan mendapati versi Malaysia sangat berbeza.

"Ia kerana budaya kita lain. Penulis skrip kita terapkan budaya Melayu. Mulanya saya tengok dua, tiga episod versi Korea tapi ia dah langgar cara Faizal Hussein bekerja.

"Saya tak suka tengok dulu sebelum baca skrip apa yang saya kena buat. Saya berlakon tak ikut acuan. Ia lakonan segar fasal saya tak tahu cerita itu macam mana dan ia versi Malaysia.

"Jadi saya tidaklah terikut-ikut. Sepanjang saya berlakon dari umur lima tahun sampai sekarang, inilah projek yang paling susah sekali untuk seseorang pelakon nak lakonkan. Nanti dah siap tahulah kenapa," katanya.

Pada masa sama, Faizal yang diakui berjaya membawakan watak dengan baik dalam setiap drama berkata, bayaran membintangi drama OTT lebih lumayan lebih dari berlakon filem.

"Saya pun biasanya fokus pada sesebuah drama dan tak buat yang lain. Selain Viu Malaysia, Astro Original juga bayar bagus kepada saya. Mereka pun tawarkan berlakon selepas ini.

"Tengoklah kalau rajin saya terima. Kalau tak, saya akan habiskan masa dengan anak-anak sahaja. Saya pun bersyukur tak berdepan masalah bayaran rendah seperti dilalui pelakon seusia lain.

"Untuk kekal relevan dalam industri, kita kena tunjukkan dekat penonton kita masih relevan juga. Kalau dah tampil sebagai orang tua, dah tentu orang nak uji bakat kita selepas itu sebagai orang tua," katanya.

SENTIASA tampilkan lakonan yang segar dalam wataknya.
SENTIASA tampilkan lakonan yang segar dalam wataknya.

Bagaimanapun Faizal bijak memasarkan dirinya agar mempunyai nilai tersendiri dikalangan semua pihak.

"Bukan saya kata saya tak tua. Saya tua juga tapi saya dapat watak tua yang penting. Sebabnya saya nak duduk nombor satu cerita lain itu jarang-jarang dapat.

"Namun ada juga drama 20 episod TV3 akan datang saya jadi hero. Tapi bukan selalu boleh dapat watak ini. Kalau kita boleh dapat watak bapa yang penting macam cerita ini, kira baguslah.

"Maknanya sekarang dalam industri, orang nak buat satu cerita watak orang yang dah tua ataupun watak bapa yang penting, mereka akan ingat saya. Bila saya tak boleh buat projek itu barulah kadang-kadang dapat pada Datuk Rosyam dan pelakon lain yang sebaya saya," katanya.

Bagi Faizal juga, sudah semestinya dia menjaga penampilan diri agar nampak sesedap mata memandang.

"Tak dinafikan saya tak nampak tua di mata penonton dan pengarah. Saya tetap dapat watak bapa tetapi ia watak bapa yang dimudakan.

"Contohnya sebelum ini saya berlakon drama Tombiruo. Penulis dan pengarah nak Datuk M Nasir tapi penerbit nak saya. Bila mereka berbincang, mereka akui M Nasir boleh bawa watak semasa (sekarang).

"Tapi bila babak imbas kembali, mekap dah tak lepas kerana dia tetap nampak tua. Saya sentiasa jaga badan, perut tak boroi, tak gemuk serta nampak kurus. Walaupun tua, mereka tahu walaupun babak imbas kembali dan saya dimudakan, orang boleh terima," katanya.

Bercerita mengenai babak aksi, Faizal menjelaskan perasaan bangga dan gembira kerana dapat melakukannya sendiri.

"Saya sentiasa jaga pemakanan dan tiada penyakit. Dari segi pergerakan pun masih boleh buat babak aksi. Untuk drama ini, produksi sediakan 'stuntman'.

"Bagaimanapun mereka terkejut apabila saya kata nak buat sendiri. Pada mereka ia dah jadi bonus bila saya buat benda ini sendiri," katanya.

Selain Faizal dan Daiyan Trisha, drama ini turut membariskan Tony Eusoff, Hun Haqeem dan Elizabeth Tan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 6:40 AM