AINUL Aishah menghitung hari untuk bergelar isteri.
AINUL Aishah menghitung hari untuk bergelar isteri.
Ridzuan Abdul Rahman


Agak lama menyepi sehinggakan ada segelintir peminatnya beranggapan dia kini merajuk dan sudah berhenti berlakon.

Namun, nama Ainul Aishah, 36, kembali menjadi sebutan apabila tampil dengan lakonan berkesan menerusi drama Terlerai Noktah di Slot Samarinda, TV3 yang selasai tayangannya, baru-baru ini.

"Tak dinafikan ramai yang menyangka begitu (berhenti berlakon). Namun, saya sebenarnya tidak merajuk dan sudah meninggalkan karier lakonan. Cuma, sebelum ini saya lebih fokus pada perniagaan.

"Saya memang suka bisnes, tapi 'passion' pada lakonan sangat mendalam. Jadi, saya kena pilih mana yang terbaik untuk saya.

"Mengenai pembabitan dalam Terlerai Noktah pula, memang betul saya dah lama tidak berlakon. Tapi, tiba-tiba dapat tawaran ini dan ia amat mengujakan," katanya.

Pelakon berkulit hitam manis ini berkata, dia mulanya semacam tidak percaya mendapat tawaran watak dalam drama itu.

Apatah lagi, digandingkan berlakon dengan nama popular seperti Nabila Huda, Aidil Aziz dan Raysha Rizrose.

"Saya dah lama tak berlakon, selain jarang juga dapat masuk drama di TV3. Bila diberi peluang ini tentu rasa macam tak percaya. Saya amat gembira dan terus terimanya kerana watak itu sangat menarik dan mencabar buat saya.

"Barisan pelakonnya juga bagus. Lebih penting, walaupun bukan watak utama, saya sudah buat sehabis baik. Jadi, bila nama keluar di poster, saya sangat gembira.

"Tak sangka juga, mungkin sebab dah lama tak muncul dalam drama. Saya sangat gembira dan terima kasih kepada penerbit serta pengarah yang memilih saya," katanya.

Ainul Aishah yang pernah dikenali menerusi drama Fajar Di Bukhara bergandingan dengan Azrel Ismail pada 2014 mengakui gembira dengan sambutan peminatnya dan penonton terhadap lakonan dipersembahkan.

"Respons peminat sangat bagus. Banyak dari kalangan mereka gembira bila tengok saya buat hantaran mengenai drama ini di media sosial.

"Ada yang mesej di Instagram dan komen kata, mereka rasa gembira dapat tengok saya beraksi di TV semula. Mereka sebenarnya masih setia menyokong saya.

"Memang sejak pandemik Covid-19, artis tak aktif berlakon. Saya pun kena tempias itu. Peminat pun kurang mempedulikan industri seni kerana semua bergelut dengan kehidupan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

BELUM puas dalam karier lakonan.
BELUM puas dalam karier lakonan.

Menurutnya, penggambaran Terlerai Noktah sempat dilakukan sebelum PKP 3.0 dan akhirnya ditayangkan kepada penonton.

"Sekali lagi saya amat bersyukur. Kalau tawaran yang bagus, saya takkan tolak biarpun watak sampingan. Karakter Hani mencabar kerana dia pesakit mental.

"Walau banyak mana sekalipun babak seseorang pelakon itu, tapi jika wataknya tiada impak pun tak guna juga. Saya kurang berminat sebegitu. Biar tak banyak babak, tapi ada kesan kepada penonton.

"Apapun, saya belum puas dalam karier lakonan. Sampai bila-bila pun, tak kira umur saya dah berapa semestinya sesuatu watak akan sedia diterima kalau karakter itu menarik untuk saya bawa," katanya yang belum mendapat sebarang tawaran baharu.

Bakal bergelar isteri

Selepas empat tahun bercinta, Ainul Aishah selamat melangsungkan pertunangan dengan lelaki pilihannya, Khairul Redzuan pada 27 Mac lalu.

"Sepatutnya majlis nikah dan resepsi kami akan berlangsung tahun ini. Tapi, kerana PKP ia ditunda ke tahun depan. Tengok juga pada keadaan.

"Kalau masih lama lagi PKP, kami akan teruskan majlis nikah secara skala kecil, tapi kalau boleh nak ada keluarga dan rakan rapat yang hadir. Jadi, kami masih nantikan saat itu.

"Jika boleh kami nak majlis perkahwinan yang sederhana saja kerana ia hanya sekali seumur hidup. Tak nak sampai tiada majlis langsung," katanya.

Selain itu, Ainul Aishah juga akan mengumumkan mengenai perniagaan baharunya yang ada kaitan dengan produk biskut selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:00 AM