Pelakon, Faizal Hussein. Foto Aziah Azmee
Pelakon, Faizal Hussein. Foto Aziah Azmee
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Faizal Hussein, 56, sebolehnya enggan menggunakan pelakon gantian dan masih berani mahu melakukan sendiri aksi lagak ngeri atau 'stunt' ketika penggambaran.

Faizal atau Mohd Faizal Hussein berkata dia bukan berlagak kuat tapi memang dia mahukan cabaran berat buat dirinya meskipun berisiko berdepan kecederaan.

"Bukan nak menunjuk-nunjuk tapi memang apa yang saya rasa boleh buat, saya buat. Alhamdulillah kadang-kadang ada sesetengah babak yang 'stuntman' pun nasihatkan jangan buat.

"Produksi cadangkan letak saja watak 'stand in'. Tapi saya cakap tak mengapa. Jadi bila pengarah buat sudut-sudut itu, dia memang akan pastikan muka saya yang buat. Bukan letak sudut yang sorokkan muka saya.

"Saya memang suka kerja-kerja yang berat. Saya tak kisah pun kuku kaki tercabut. Hakikatnya, bukan pertama kali pun berdepan kecederaan begitu," katanya.

Faizal yang ditemui pada sidang media dan pratonton siri Viu Original, W: Two Worlds, baru-baru ini juga menggunakan pendekatan sama sewaktu penggambaran siri adaptasi dari Korea Selatan itu.

"Susahnya sebab ada beberapa babak-babak yang besar, hampir semua setnya besar. Watak saya lakonkan pun memerlukan persediaan yang hebatlah. Seperti babak-babak tempur.

"Banyak juga set-set yang pengarah serta pengarah aksi sudah putuskan letak 'stuntman'. Tapi saya akan halang mereka dan beritahu saya boleh melakukannya. Kemudian saya buat sendiri.

"Sampai penerbit pun datang tanya betulkah saya nak buat sendiri. Itulah kelebihannya, babak pun nampak lebih realistik," katanya.

Melakonkan watak Omar Yusuf iaitu seorang penulis komik, Faizal juga ingin mereka karakternya sendiri dan enggan terikut watak asal dalam drama terbabit.

"Kalau buat cerita adaptasi, saya memang takkan tonton versi asal. Saya tengok satu episod, sudah faham jalan cerita, itu saja. Sebab tak nak watak asal itu membayangi apa saya akan buat," katanya.

Selain Faizal, W: Two Worlds turut dibintangi Hun Haqeem, Daiyan Trisha, Elizabeth Tan, Mierul Aiman, Tony Eusof, Shahkimin dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 12:30 PM