IMPIAN Qi Razali tertunai selepas bawa watak pengganas dalam filem aksi War On Terror: KL Anarki. - FOTO Hazreen MOhamad
IMPIAN Qi Razali tertunai selepas bawa watak pengganas dalam filem aksi War On Terror: KL Anarki. - FOTO Hazreen MOhamad
Ramlah Zainal


IMPIAN pelakon dan pengacara terkenal, Qi Razali, 46, untuk melakonkan watak pengganas akhirnya kesampaian dalam filem genre aksi War On Terror: KL Anarki terbitan Multimedia Entertainment dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Qi atau nama sebenar, Qushairi Mohammed Razali, dia juga sanggup menghadiri proses uji bakat sebelum ditawarkan watak antagonis iaitu Lang dalam filem itu.

"Jarang, saya dapat melakonkan watak antagonis dalam filem. Pada masa sama, saya memang meminati naskhah yang membabitkan cerita pasukan beruniform ini.

"Watak jahat ini menarik kerana pelakon diberi kebebasan untuk melakonkan aksi lagak ngeri sendiri termasuk mengendalikan senjata api dan turun dari tempat tinggi," katanya kepada Harian Metro.

Qi ditemui pada majlis pelancaran trailer filem ini yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.

Dalam filem arahan Kroll Azry dan Frank See itu, Qi bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Farali Khan, Adlin Aman Ramlie, Daiyan Trisha, Noki K Clique, Naque Ariffin, Wan Hanafi Su, Kahoe Hon dan Daniel Ga.

Mengenai proses latihan, kata Qi, dia juga menjalani latihan rapi selama dua hingga tiga minggu dari jam 9 pagi hingga 6 petang untuk menjiwai watak pengganas terbabit.

"Saya juga perlu menaikkan berat badan dari 73 kilogram sehingga mencecah 78 kilogram dalam tempoh lebih sebulan untuk mendapatkan berat badan seperti dikehendaki watak.

"Bagi mendapatkan bentuk badan yang 'fit' saya juga 'workout' dan mengambil protein serta kurang mengambil nasi," katanya.

Ditanya bagaimana dia menjiwai watak pengganas itu, kata Qi, dia juga banyak menonton video di dark web yang memaparkan babak orang potong jari dan penggal kepala, pembunuh upahan dan sebagainya.

QI Jalani latihan rapi selama dua hingga tiga minggu.  - FOTO Hazreen MOhamad
QI Jalani latihan rapi selama dua hingga tiga minggu. - FOTO Hazreen MOhamad

"Dari segi perubahan pada wajah, ada sedikit parut di bahagian wajah saya untuk kesesuaian watak.

"Saya mahu tampilkan kelainan dalam filem ini dan sangat berharap tiada babak lakonan yang dipotong nanti.

"Saya percaya sudah buat yang terbaik. Bayangkan, selepas selesai penggambaran filem ini pun, ada orang perasan, watak jahat tu masih ada dalam diri dan saya perlukan masa untuk membuangnya. Filem Ini di jangka ditayangkan di pawagam seluruh tanah air pada Oktober nanti," katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan pengarah Kroll pula, Qi mengakui senang mendapat keserasian bekerja dengannya.

"Pengarah beritahu dengan jelas apa yang dimahukannya dengan watak lakonan saya itu.

"Saya harap orang akan nampak kelainan dalam lakonan saya itu dan saya mahu membuktikan pada orang saya juga mampu membawa pelbagai watak.

"Penggambaran filem ini berlangsung pada tahun lalu dan membabitkan lokasi sekitar Johor Bahru dan Kuala Lumpur," kata Qi yang pengalaman berlakon filem aksi berjudul Anak Jantan arahan Faizul A Rashid pada 2014.

Sementara itu, mengulas karier nyanyian pula, kata Qi, buat masa ini, dia mahu fokus pada bidang lakonan dan pengacaraan.

"Sebenarnya, Radhi OAG ada mengajak saya untuk sertai band semula dan hubungan kami juga tiada masalah.

"Namun, saya pula melihat belum masanya lagi kerana ia membabitkan komitmen yang sama berat.

"Pada masa sama, saya juga bakal mengarah filem pendek tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 6:00 AM