PERLU berusaha keras pastikan kewujudan dalam dunia seni tanah air disedari.
PERLU berusaha keras pastikan kewujudan dalam dunia seni tanah air disedari.
Syanty Octavia Amry


Tidak pernah terfikir menceburi dunia lakonan secara serius, bekas juara Miss International Yachting Pageant 2013 Malaysia Elvina Chua berharap perjalanannya dipermudahkan.

Bagi si jelita berusia 27 tahun ini, walaupun tiada pengalaman, bekerja dalam bidang pemasaran sebelum ini banyak mendedahkan dirinya dengan selok-belok dunia hiburan.

Menurut Elvina, pembabitannya dalam bidang lakonan adalah secara tidak sengaja selepas menyedari dirinya mesra kamera.

“Saya lulusan jurusan pemasaran dan tidak pernah berlakon. Selepas tamat belajar saya bekerja di bahagian pemasaran selama dua tahun.

“Kerja saya banyak terbabit dengan acara hiburan dan daripada situ berpeluang menjayakan filem pendek yang ditayangkan di YouTube,” katanya.

Elvina berkata, sejak itu ramai rakannya mula menyedari dia berbakat melakonkan apa saja watak.

“Saya sendiri tidak menyangka kerana semuanya berlaku secara spontan. Mungkin kerana suka dengan apa yang saya lakukan maka watak yang diberikan jadi lebih mudah,” katanya.

Sambungnya, minat terhadap kerjaya lakonan semakin bercambah pada 2016 apabila ditawarkan membintangi beberapa drama bersiri termasuk Pembancuh Kopi Mr Vampire dan Mencintaimu Mr Photographer.

Tidak hanya itu, dia juga turut terbabit dalam filem Hong Kong yang sudah ditayangkan di sana.

“Syukur, laluan kerjaya saya dipermudahkan. Walaupun tawaran tidaklah terlalu banyak, rezeki tetap ada,” katanya.

Tidak Cerewet soal watak

Menyedari dirinya masih baru, Elvina tidak kisah membawakan apa saja watak. Ini kerana setiap watak punya cabaran tersendiri apatah lagi bagi orang baru sepertinya.

“Walaupun masih hijau dalam bidang ini, saya berpeluang melakonkan pelbagai watak termasuk hantu, antagonis dan protagonis.

“Ia pengalaman yang bagus untuk memperbaiki mutu lakonan saya.

“Disebabkan nekad fokus berlakon, saya perlu terima apa saja watak yang diberikan pihak produksi,” katanya.

Meskipun usianya sudah mencecah 27 tahun, bagi Elvina belum terlewat untuknya mencanai bakat dalam persada seni tanah air.

“Saya tidak pernah rasa ralat atau menyesal lambat menceburi bidang ini. Mungkin sudah tertulis baru sekarang rezeki saya. Apabila peluang sudah ada depan mata, apa salahnya saya cuba dan manfaatkan sebaik mungkin.

“Cepat atau lambat bukan ukuran, yang penting cara kita menggunakan peluang yang datang,” katanya.

Dalam pada itu, Elvina berharap kehadirannya diterima baik kerana sedar bukan mudah pelakon Cina menembusi pasaran Melayu.

“Saya pernah cuba masuk pasaran Cina dan ia sukar kerana hanya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin tetapi tidak boleh membaca.

“Mungkin kerana dulu saya bersekolah di sekolah kebangsaan banyak bertutur dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Daripada menyusahkan orang lain, lebih baik saya cuba pasaran Melayu,” katanya.

Elvina berkata, meskipun tidak ramai pelakon Cina dalam pasaran Melayu, dia tidak boleh goyang kaki sebaliknya perlu berusaha lebih keras memastikan kewujudannya disedari orang ramai.

“Pelakon sekarang terlalu ramai dan kerana itu saya tidak boleh leka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 6:26 AM