GAMBAR kenangan Muhammad NurShaqish dengan bapa tirinya,  MUHAMMAD Nurshafiq. FOTO Ihsan  Suhaila Sharim
GAMBAR kenangan Muhammad NurShaqish dengan bapa tirinya, MUHAMMAD Nurshafiq. FOTO Ihsan Suhaila Sharim
Redzuan Muharam


Ipoh: Meskipun tiada pertalian darah, hubungan Muhammad Nurshafiq Noor Apandi dan anak tirinya, Muhammad NurShaqish Iman cukup akrab.

Kemesraan mereka dapat dilihat menerusi perkongsian video Suhaila Sharim, 30-an iaitu isteri Muhammad Nurshafiq, 30-an yang juga ibu kepada Muhammad NurShaqish Iman, 16, di TikTok miliknya @cikpuanmuda11.

Melihat hubungan mesra mereka menyebabkan rata-rata netizen memuji keikhlasan Muhammad Nurshafiq dalam mencurahkan kasih sayang kepada Muhammad NurShaqish Iman.

Bercerita lanjut, Muhammad Nurshafiq berkata, ikatan kemesraan dengan anak tirinya itu bukan baru terjalin tetapi awal perkenalan dengan isterinya pada 2014.

"Saya dan isteri sudah lama berkenalan cuma ditakdirkan berkahwin pada 27 Ogos tahun lalu. Sejak awal perkenalan dengan isteri pun, saya sudah tahu statusnya sebagai ibu tunggal yang ada seorang anak lelaki.

"Jadi, saya sudah faham dan terbiasa daripada awal lagi malah kami rapat sebelum saya berkahwin dengan ibunya lagi. Alhamdulillah, dia dapat terima saya dan disebabkan itu juga saya sudah anggap dia seperti anak kandung sendiri," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMMAD Nurshafiq akrab dengan  anak tirinya, Muhammad NurShaqish Iman walaupun tiada pertalian darah. FOTO Ihsan  Suhaila Sharim
MUHAMMAD Nurshafiq akrab dengan anak tirinya, Muhammad NurShaqish Iman walaupun tiada pertalian darah. FOTO Ihsan Suhaila Sharim

Menyedari usia Muhammad NurShaqish Iman yang sudah meningkat remaja, Muhammad Nurshafiq cuba menjadi rakan buat anak tirinya itu.

"Di rumah, kami memang banyak luangkan masa bersama hingga ada kalanya bersembang sampai awal pagi kerana tak sedar. Saya bekerja sebagai penghantar makanan dan ada kalanya, anak ikut sekali saya waktu hantar pesanan kepada pelanggan.

"Saya pun ada teman dia ke taman berhampiran untuk main bola sepak jadi hubungan sudah macam kawan baik kerana banyak juga yang dikongsi bersama. Mudah-mudahan, hubungan baik antara kami ini berterusan sampai bila-bila," katanya" katanya.

Sementara itu, isterinya, Suhaila berkata, penerimaan baik Muhammad Nurshafiq yang meyakinkannya untuk menerima lamaran suaminya.

"Saya ada seorang saja anak dan dia sudah macam beg tangan saya kerana ke mana pergi, dia pasti akan dibawa bersama. Jadi, mana-mana lelaki yang ajak keluar saya akan letak syarat untuk bawa anak bersama.

"Alhamdulillah, suami dapat terima saya dan anak malah saya gembira melihat hubungan akrab serta keserasian antara mereka," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok pula, Suhaila berkata, niatnya sekadar untuk berkongsi kemesraan suami dan anaknya.

Di samping itu, mesej cuba disampaikannya adalah bukan semua ibu atau bapa tiri garang atau tidak baik seperti digambarkan segelintir individu.

"Mungkin mereka (ibu bapa tiri) cuba rapat tetapi tak diberi peluang oleh anak tiri. Dalam hubungan saya agak bertuah kerana suami dan anak faham malah boleh jadi rapat.

"Syukur Alhamdulillah dan setakat ini, kebanyakan reaksi netizen positif dan niat lain saya kongsikan video adalah untuk zahirkan penghargaan atas pengorbanan suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 8:00 PM