KEADAAN perniagaan haram dijalankan   warga Bangladesh  di Jalan Sultan dan Jalan Sultan Ismail.
KEADAAN perniagaan haram dijalankan warga Bangladesh di Jalan Sultan dan Jalan Sultan Ismail.
Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Hanya perlu bentang kain cadar di atas laluan pejalan kaki sebelum berniaga secara haram setiap awal pagi.

Itu antara gelagat melampau kumpulan peniaga warga asing yang ‘menjajah’ kawasan tumpuan awam di Jalan Sultan dan Jalan Sultan Ismail, di sini.

Peniaga warga Bangladesh ini akan menjual pakaian, permainan kanak-kanak serta aksesori telefon pintar hingga menyukarkan orang ramai melalui kawasan itu.

Susulan aduan diterima daripada orang ramai, sepasukan anggota Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu kawasan berkenaan jam 6 pagi kelmarin.

Jurucakap DBKL berkata, pihaknya menyita pelbagai barangan dan peralatan dijual peniaga warga asing terbabit.

“Mereka dikesan memulakan operasi seawal jam 6 pagi dengan membentang tikar atau kain untuk mempamerkan barangan kepada pelanggan.

“Antara barangan disita termasuk pakaian dan kasut terpakai serta aksesori telefon,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap aktiviti haram dijalankan warga asing terbabit bagi memastikan keselesaan orang awam.

“Pihak kami akan mengambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) pelesenan penjaja dan gerai (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1989) kerana bertindak sebagai penjaja tanpa lesen (bukan warganegara),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:10 AM