Shuib
Shuib
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib atau Shahmira Muhamad, 39, selamat melangsungkan pertunangan dengan pilihan hatinya, usahawan Watie Hanifiah, 35, hari ini.

Berita gembira itu dikongsi Shuib dalam hantaran video di Istagram Story, hari ini.

"Assalamualaikum, Shuib ini. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

"Hari ini 6 Mei 2023, Alhamdulillah, saya baru sahaja melangsungkan pertunangan dengan Watie.

"Saya mohon doakanlah semoga perjalanan kami dipermudahkan. Doakan yang baik-baik untuk kami.

"Doakan tau.. Selamat Hari Raya," katanya. 

Majlis pertunangan mereka berlangsung pada waktu tengah hari di kediaman keluarga Watie dan hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.

Pada majlis ringkas itu, Shuib menghantar tiga dulang hantaran berupa manisan, kasut dan sirih junjung kepada pihak perempuan.

 Manakala pihak keluarga Watie pula membalas dengan lima dulang hantaran termasuk manisan, sampin, buah-buahan, sirih junjung dan kasut.

Pasangan ini dijangka melangsungkan majlis pernikahan pada 23 Jun nanti.

Terdahulu, desas-desus hubungan Shuib dan Watie akhirnya terjawab selepas pelawak itu memaklumkan kepada pihak media, mereka akan mendirikan rumah tangga pada Jun 2023.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 9:36 PM