ARIF Aiman (kiri) cuba melepasi dua pemain PDRM FC pada perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim,  Iskandar Puteri, malam tadi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
ARIF Aiman (kiri) cuba melepasi dua pemain PDRM FC pada perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak 'suara sumbang' yang mendakwa kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) mendominasi Liga Malaysia (Liga M) disebabkan kuasa wang atau gaji lumayan diterima pemainnya.

Katanya, gaji pemain JDT boleh dikategorikan pada tahap kompetitif berbanding pasukan Liga M termasuk ada yang berbelanja hingga RM2.2 juta setahun hanya untuk seorang pemain import.

Malah, ada tonggak tempatan dibayar sehingga RM80,000 sebulan sedangkan bintang JDT iaitu Arif Aiman Hanapi hanya menerima gaji RM25,000 sebulan.

"Kalau nak kata bajet (bajet tinggi), ini saya nak terangkan pasal bajet...semalam saya nak naikkan gaji Feroz Baharudin dengan Arif Aiman, Feroz berbelas ribu sahaja dan Arif Aiman tak sampai RM25,000 pun gaji.

"Tetapi saya tahu pasukan lawan saya membayar gaji kepada pemain tempatan sampai ke RM80,000 hingga RM90,000. Bukan itu sahaja, pemain import saya Bergson da Silva baru US$300,000 setahun (bersamaan RM1.3 juta).

"Tapi ada (pasukan lain) yang bayar US$500,000 setahun (RM2.2 juta), jadi adakah JDT yang berbelanja atau adakah pasukan lain yang berbelanja," katanya ketika ditemui warga media sukan pada majlis berbuka puasa bersama Tunku Ismail di Johor Bharu, semalam.

Beliau yang juga Tunku Mahkota Johor berkata, beliau sebolehnya mahu mengurangkan bajet skuad Harimau Selatan setiap tahun tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar.

Malah, beliau mengakui sentiasa berbelanja mengikut kemampuan dengan mengukur baju di badan sendiri apabila JDT pada musim ini hanya mengikat lapan import sahaja berbanding sembilan orang yang dibenarkan.

"Saya berbelanja ikut kemampuan dan saya cuba menurunkan belanja duit itu sebanyak mungkin, kerana kami nak kekalkan momentum.

"Macam contoh, kami tak mampu nak ambil sampai sembilan import pun sebab itu kami hanya ambil lapan import. Jadi awak kena tengok logik dan fakta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 5:40 PM