AKSI Faisal meraikan jaringan Selangor FC ketika menentang Pahang FC.
AKSI Faisal meraikan jaringan Selangor FC ketika menentang Pahang FC.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim membidas dakwaan netizen di laman sosial yang mengaitkannya antara pemain tempatan menerima gaji lumayan sebanyak RM80,000 sebulan.

Jelas Faisal, tuduhan terbabit tidak berasas sama sekali dan dia mengganggap dakwaan berkenaan sengaja dilakukan segelintir pihak termasuk yang membandingkan gajinya dengan bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.

Katanya, jika benar gajinya selumayan itu, sudah tentu dia kini sudah menggunakan kereta berjenama mahal hingga mencecah setengah juta ringgit.

"Pandai-pandai saja. Hahahahaha (kalau gaji) 80k (RM80,000), saya dah pakai kereta harga 500k-600k (RM500,000 hingga RM600,000) dah," katanya di laman sosial.

Dalam satu info grafik yang diedit netizen, memaparkan gambar Faisal dan Arif Aiman dengan meletakkan perbandingan jumlah gaji diterima kedua-dua pemain itu.

Faisal didakwa meraih RM80,000 sebulan manakala Arif Aiman pula pada harga RM25,000 sebulan, sekaligus menunjukkan perbezaan ketara tangga gaji bagi dua pemain berkenaan.

Tindakan 'nakal' netizen itu disebabkan pendedahan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini yang mengakui gaji yang diterima Arif Aiman hanyalah RM25,000 sebulan.

Menurut Tunku Ismail, pendapatan diraih Arif Aiman itu cukup rendah jika dibandingkan dengan pasukan yang di mana beliau mendedahkan ada kelab sanggup membayar sehingga RM80,000 bagi seorang pemain tempatan.

Malah, Tunku Mahkota Johor itu juga mendakwa ada pasukan berbelanja hingga RM2.2 juta setahun hanya untuk seorang pemain import yang disifatkan terlalu mahal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 1:57 PM