TINDAKAN Arif ketika disapa Amri mendapat pujian netizen.
TINDAKAN Arif ketika disapa Amri mendapat pujian netizen.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi bukan sahaja memukau peminat bola sepak tempatan dengan keterampilannya di atas padang, malah sikapnya ketika di luar waktu perlawanan turut mencuri tumpuan ramai.

Ini kerana, Arif dilihat sangat menghormati pemain lebih senior apabila dia mencium tangan pemain Sabah FC, Amri Yahyah selepas disapa dalam perlawanan terakhir saingan Liga Super di antara dua pasukan terbabit di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Ketika perlawanan dihentikan seketika disebabkan pemain Sabah FC mengalami kecederaan, Arif yang sedang menunggu wisel ditiup oleh pengadil untuk meneruskan permainan dengan membuat lontaran ke dalam itu disapa oleh Amri yang sedang memanaskan badan.

Arif dengan tindakan spontannya terus bersalaman dan menundukkan kepala untuk mencium tangan bekas pemain JDT yang kini sudah menginjak usia 41 tahun itu sebagai tanda hormat.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik oleh @hunydedear di aplikasi TikTok, dia turut memuji personaliti pemain berusia 20 tahun itu selain sempat berseloroh bahawa Arif adalah pilihan ibu-ibu diluar sana.

"Terbaiklah Arif Aiman, memang hormat senior. Tahap lejen Amri ini sampai salam cium tangan. Ramai mak-mak nak buat menantu ini. Ingat pesan TMJ (Tunku Mahkota Johor), jangan cari artis, cari yang macam kami ini," katanya.

Sehingga kini, hantaran video itu sudah menerima sebanyak 519,400 tontonan, 43,200 tanda sukan, 288 komentar dan 136 perkongsian.

Sebelum ini, Arif turut mencuri tumpuan ramai selepas membuat kejutan dengan menghadiahkan ibunya sebuah kereta keluaran Proton iaitu model X50.

Dalam aksi semalam juga menyaksikan JDT cemerlang menewaskan Sabah FC 3-0 sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan yang mengesahkan kehebatan juara Liga Super kali kesembilan berturut-turut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 5:01 PM