GOLONGAN terbabit menghabiskan sisa hidup pada usia senja di pusat jagaan warga emas sebelum ajal menjemput. FOTO Azhar Ramli
GOLONGAN terbabit menghabiskan sisa hidup pada usia senja di pusat jagaan warga emas sebelum ajal menjemput. FOTO Azhar Ramli
Redzuan Muharam dan Noor Hidayah Tanzizi

Semenyih: Kesalahan silam yang dilakukan diakui antara menjadi punca segelintir warga emas disisih keluarga seterusnya menjadi penghuni pusat jagaan warga emas atau rumah orang tua.

Tiada anak atau ahli keluarga sanggup menjaga dan akhirnya, golongan terbabit menghabiskan sisa hidup pada usia senja di pusat jagaan warga emas sebelum ajal menjemput.

Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia Syafiq Mohiadin berkata, pengakuan itu dibuat segelintir penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia kepadanya ketika dia cuba menyelami perasaan dan mendengar luahan mereka.

"Bukan mudah penghuni di sini hendak kongsi kisah silam pada awal perkenalan, tetapi apabila kerap ajak bersembang dan sudah selesa, mereka akan bercerita.

"Menurut apa yang diceritakan kepada saya, segelintir penghuni akui dan anggap apa yang berlaku terhadap mereka (tinggal di pusat jagaan warga emas) sebagai kifarah.

"Ia kerana ada yang mengakui pernah abaikan tanggungjawab terhadap keluarga termasuk anak dan isteri ketika muda kerana terlalu seronok dengan kehidupan.

"Akhirnya, anak mereka menyimpan dendam dan enggan menjaga mereka ketika usia emas," katanya ditemui di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di sini.

Bagaimanapun, Syafiq berkata, ada juga kes 'tanggang moden' iaitu anak enggan lagi menjaga penghuni selepas mengaut harta mereka.

Katanya, punca lain adalah kerana sikap pasangan segelintir penghuni terbabit yang enggan hidup susah senang bersama selepas pasangan mereka menderita akibat penyakit atau cacat kekal.

"Apa pun, kena berbalik kepada ajaran agama dan sebab itu, kita perlu berbuat baik dengan semua terutama keluarga sejak muda dengan jalankan tanggungjawab sepatutnya.

"Akan tetapi, anak perlu ingat, sejahat mana pun ibu atau bapa mereka, ia bukan tiket untuk mengabaikan orang tua yang pernah satu ketika menjaga dan membesarkan kita.

"Sebaliknya, anak yang perlu menjaga dan menguruskan orang tua sehingga akhir hayat mereka," katanya.

Akta khas perlu digubal

Akta khas untuk warga emas perlu diwujud dan dikuatkuasakan bagi membela nasib golongan berkenaan, terutama membabitkan isu pengabaian.

Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia Azman Rasman berkata, pihaknya berpandangan sudah tiba masa akta itu digubal, bagi melindungi warga emas terabai sama seperti akta sedia ada untuk kes membabitkan kanak-kanak.

Menurut Azman, pusat jagaan pihaknya menempatkan 45 penghuni terdiri daripada 22 wanita dan 23 lelaki berusia 40 hingga 80 tahun.

"Penghuni ini daripada pelbagai latar belakang dan mereka tiada waris, tidak mahu dijaga waris serta ada juga penghuni terlantar perlu diuruskan sepenuhnya dan memerlukan susu khas.

"Sebanyak 95 peratus kes di pusat jagaan ini membabitkan pengabaian dan perkara ini diharap dapat diberi perhatian oleh pihak berkaitan," katanya ditemui.

Menurut Azman, penghuni itu dihantar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital, polis dan pihak zakat selepas melalui tapisan ditetapkan.

Katanya, pusat jagaan itu beroperasi melalui dana daripada JKM, Lembaga Zakat Selangor dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai.

"Kos keseluruhan operasi pusat ini setahun adalah RM780,000 yang mana kita perlukan RM65,000 setiap bulan.

"Sejak beroperasi pada 2016, pusat itu sudah menempatkan lebih 300 penghuni dengan 46 daripadanya sudah meninggal dunia," katanya.

656 kes pengabaian sejak 2018

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 656 kes pengabaian atau dipinggirkan keluarga membabitkan warga emas di seluruh negara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, sepanjang tempoh itu, 2020 mencatatkan kes tertinggi iaitu 162 kes diikuti 148 kes pada 2019.

Menurutnya, pada 2018, JKM mencatat 136 kes, 113 kes pada 2021 dan 97 kes untuk 2022 (setakat November).

"Selain pengabaian atau dipinggirkan keluarga, antara sebab lain kemasukan ke institusi di bawah JKM kerana sebatang kara, masalah kesihatan, ketidakupayaan, masalah penjagaan, penderaan dan kemiskinan.

"Namun tiada peningkatan signifikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Shaharuddin berkata, warga emas terbabit ditinggalkan dalam pelbagai situasi dan keadaan.

Antaranya di perhentian bas atau teksi, hospital dan di rumah tanpa pengawasan dalam tempoh lama.

Katanya, JKM juga menyediakan kemudahan institusi warga emas iaitu Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE).

"Ada 10 RSK di seluruh negara yang mana dua daripadanya dalam pembinaan naik taraf bangunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:00 PM