FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penggunaan aplikasi komunikasi sosial seawal usia 16 tahun dipercayai menyebabkan jenayah rogol dalam kalangan remaja perempuan bawah umur meningkat selain memudahkan taktik predator mencari mangsa.

Ini kerana aplikasi itu dikenal pasti menjadi antara penghubung utama untuk suspek dan mangsa bertemu sehingga berakhir dengan hubungan seks.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, walaupun kadar jenayah menurun secara mendadak namun kes rogol kian meningkat dan amat membimbangkan.

"Kepesatan teknologi, bahan pornografi mudah diperoleh, suka sama suka dan keluar rumah antara penyumbang kepada peningkatan kes rogol di negara ini.

"Trend kes rogol dilihat meningkat dalam tempoh dua tahun ini iaitu 3,356 kes direkodkan dari 2021 hingga 2022 di mana kebanyakan menjadi mangsa remaja perempuan berusia bawah 16 tahun," katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Abd Jalil berkata, kejadian rogol direkodkan 1,712 kes tahun lalu berbanding 1,553 kes pada 2021, iaitu meningkat kepada 159 kes atau 10.2 peratus.

"Golongan remaja berusia 13 hingga 15 tahun mencatat rekod tertinggi kes rogol iaitu 1,577 kes untuk dua tahun berturut-turut yang mana 867 kes dilapork pada 2022 manakala 710 kes pada tahun sebelumnya.

"Selain itu, 126 kes rogol kepada kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun tahun lalu manakala 99 kes pada 2021," katanya.

Katanya, 14 kes rogol direkodkan masing-masing pada 2022 dan 2021 membabitkan kanak-kanak berusia enam sehingga sembilan tahun.

"Apa yang membimbangkan, tiga kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah usia enam tahun tahun lalu manakala dua kes berlaku pada 2021.

"Kita (polis) mendapati, antara punca utama trend peningkatan ini kerana kebanyakan mangsa mudah didekati suspek berikutan penggunaan teknologi secara meluas terutama platform media sosial dan aplikasi komunikasi digital.

"Platform ini menjadi penghubung suspek bertemu mangsa secara mudah. Daripada perkenalan di platform ini membawa kepada pertemuan dan berakhir dengan hubungan seks," katanya.

Katanya, kebanyakan mangsa remaja berusia bawah 16 tahun yang mana keluarga tampil membuat laporan polis selepas mengetahui kejadian itu menimpa anak-anak mereka.

"Apabila laporan dibuat dan polis buka kertas siasatan walaupun suka sama suka, namun ia kesalahan jenayah mengikut undang-undang negara memandangkan ia kejadian rogol bawah umur.

"Antara punca lain (kes rogol) adalah kerana capaian internet yang senang kepada bahan berunsur lucah termasuk pornografi," katanya.

Katanya, bahan berunsur lucah mudah mempengaruhi kanak-kanak untuk diteroka.

"Antara punca lain ialah peningkatan kes kanak-kanak keluar rumah yang mana semasa keberadaan di luar tanpa kawalan ibu bapa menyebabkan mereka melakukan hubungan seks dengan kenalan dan menyumbang kepada kes rogol," katanya.

CAPAIAN internet yang mudah membuka ruang luas untuk akses   bahan   lucah termasuk pornografi.
CAPAIAN internet yang mudah membuka ruang luas untuk akses bahan lucah termasuk pornografi.

Kawal aktiviti media sosial anak

Penggunaan gajet dan telefon pintar secara meluas sekali gus memudahkan akses kepada komunikasi berunsur lucah antara punca peningkatan kes rogol dalam kalangan remaja terutama mereka berusia bawah 16 tahun.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ibu bapa perlu membina 'syarat' eksklusif dalam keluarga mengenai 'tarikh matang' dan usia untuk anak mereka mempunyai aplikasi komunikasi.

"Ibu bapa perlu bina langkah kawalan keselamatan media sosial secara terperinci untuk anak dan paling penting melakukan pemeriksaan perilaku serta aktiviti media sosial secara berkala," katanya.

Noor Nirwandy berkata, jenayah rogol membabitkan remaja bawah usia 16 tahun di negara ini sangat membimbangkan.

"Ini mungkin berlaku disebabkan keterbukaan dan platform memudahkan pertemuan antara mangsa dengan suspek untuk melakukan jenayah seperti rogol.

"Pembentukan elemen minda keselamatan di bawah dasar keselamatan negara terutama kepada golongan remaja bawah 16 tahun melalui peranan ibu bapa, guru dan sosial media perlu diterap dalam setiap keluarga," katanya.

Katanya, elemen minda mesti diterapkan dengan larangan tertentu sehingga mereka takut keluar bersendirian dan bercakap dengan individu atau berhubung dengan sesiapa saja di media sosial.

"Peranan ibu bapa cukup besar di mana mereka perlu melihat, memantau, memeriksa telefon anak-anak yang masih di bawah umur supaya kita mengetahui dengan siapa mereka berhubung," katanya.

Ditanya adakah perlu menyekat anak masih di bawah umur menggunakan aplikasi sosial, katanya, ia bergantung kepada ibu bapa untuk melakukan pemantauan gajet kerana ia menjadi sebahagian sumber pembelajaran.

Katanya, selain itu, kesibukan ibu bapa mengurus ekonomi keluarga antara faktor mereka tidak mengawal penggunaan internet anak masing-masing.

"Kita perlu adakan kempen bagi meningkatkan kefahaman kanak-kanak berkaitan penggunaan media sosial secara bijak dan selamat," katanya.

Nak seronok tanpa fikir kesan buruk

Cinta pandang pertama dan mengejar keseronokan menyebabkan dua remaja perempuan ini hanyut sehingga terlanjur bersama teman lelaki masing-masing.

Perbuatan dilakukan berulang kali itu menjadi noda hitam yang merubah keseluruhan kehidupan remaja ini yang hanya mahu dikenali sebagai Kina dan Ira.

Lebih menyedihkan teman lelaki mereka bukan sahaja tidak mahu bertanggungjawab selepas si gadis mengandung, malah memaksa supaya menggugurkan kandungan.

Itu pengalaman dikongsi remaja masing-masing berusia 16 tahun yang menghuni pusat perlindungan remaja terlanjur di ibu kota dan mereka menyesali kisah kehidupan silam, namun bersyukur diberi peluang untuk bertaubat.

Bahkan, mereka mengakui pernah terfikir untuk mencabut nyawa sendiri sebelum diselamatkan dan menghuni rumah perlindungan itu.

Kina yang berasal dari Selangor berkata, episod malang menimpa dirinya bermula selepas berkenalan dengan seorang lelaki dewasa.

"Pada mulanya kami hanya suka-suka melakukan maksiat di hotel atau di bilik sewa lelaki itu, namun lama-kelamaan saya ketagih untuk melakukan hubungan terlarang tanpa ikatan yang sah," katanya.

Menurutnya, ketika itu dia hanya ingin berseronok kerana mahu memuaskan nafsu selepas ketagih melakukannya tanpa langsung berfikir panjang terhadap kesan bakal dihadapi.

"Semuanya berubah selepas saya mengandung. Lebih menyedihkan dia enggan bertanggungjawab dan saya mengambil keputusan datang ke rumah perlindungan ini.

"Bayi terpaksa diserah kepada keluarga angkat," katanya.

Katanya, dia diberi telefon bimbit seawal usia 13 tahun oleh ibu bapa dan mengakui menyalahguna teknologi mencari cinta.

"Bermula dengan berhubung di satu aplikasi sosial sehingga membawa kepada pertemuan yang berakhir dengan hubungan seks," katanya.

Sementara itu, Ira yang berasal dari Johor menyesali perbuatan 'bodoh' dilakukannya sehingga menghancurkan masa depan.

Katanya, dia terjebak dengan seks bebas selepas jatuh cinta pandang pertama ketika mengikut rakannya ke pusat snuker.

"Saya hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga sahaja sebelum bekerja pada usia 16 tahun. Bahkan saya tinggal berasingan dengan keluarga.

"Ketika itu saya anggap 'kegiatan' itu aktiviti biasa kerana mahu puaskan nafsu dan ketagihan," katanya.

Menurut Ira, keindahan hubungan itu tidak kekal lama apabila dia mengandung anak luar nikah dan bekas teman lelakinya enggan bertanggungjawab.

"Ketika diami rumah perlindungan ini, dia (bekas teman lelaki) ada melawat namun akhirnya dia menghilangkan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 12:00 PM