WANI dan Bella kini ingin mengorak langkah lebih maju dalam bidang muzik.
WANI dan Bella kini ingin mengorak langkah lebih maju dalam bidang muzik.
Syafil Syazwan Jefri

Kalau sudah namanya anak seni, darah seni itu tidak akan pernah berhenti mengalir dalam keluarga.

Antara bukti nyata adalah kemunculan pasangan duo, Wani Kayrie dan Bella Astillah baru-baru ini dalam menyempurnakan tugas mereka sebagai peserta program Famili Duo dan berjaya berada di tempat ketiga.

Kedua-duanya memiliki bakat dalam cabang seni tersendiri. Wani dikenali sebagai penyanyi manakala Bella pula dikenali sebagai pelakon.

Siapa sangka, program realiti nyanyian itu tidak hanya mencungkil bakat mereka dalam bidang muzik, tetapi juga membuka ruang untuk mereka menjadi sepupu yang lebih akrab.

Bagi Wani, mengenali Bella sebagai wanita yang lemah lembut membuatkannya rasa bertanggungjawab untuk turut menyalurkan semangat buat Bella, lebih-lebih lagi dalam situasi mencabar seperti yang berlaku, baru-baru ini.

"Impak dari itu, saya jadi saudara yang lebih prihatin akan emosi dia. Saya tahu dia orangnya yang bagaimana dan keperibadiannya adalah seorang wanita yang lemah lembut. Sebagai sepupu, saya cuba berikannya semangat," katanya.

Berkongsi mengenai situasi berkaitan rumah tangga yang melanda sepupunya baru-baru ini, Wani lebih selesa tidak terlalu mengambil tahu, sebaliknya membuatkan Bella selesa dengan mengajaknya memberikan tumpuan penuh kepada karier.

"Bella nampak dan faham cara saya bekerja. Saya jenis orang yang tahu mengenai apa yang berlaku, namun saya lebih suka untuk tidak terlalu mengambil tahu.

"Untuk memastikan emosi dan fokusnya tidak terganggu, saya selalu mengajaknya untuk berlatih dan sebagainya," katanya.

Berkongsi mengenai impak daripada program Famili Duo, Wani tidak menafikan nama dan bakatnya kini lebih dipandang banyak pihak.

FAMILI Duo membuka peluang lebih luas untuk Wani dan Bella meneroka bakat.
FAMILI Duo membuka peluang lebih luas untuk Wani dan Bella meneroka bakat.

"Selepas saya tampil menerusi program Famili Duo, saya berasakan bahawa bakat saya lebih mendapat perhatian. Semakin ramai yang nampak termasuk barisan juri.

"Ya, saya tak nafikan, ramai yang tahu bahawa nama saya adalah antara artis yang kerap menyertai pelbagai pertandingan.

"Namun, ini adalah pertandingan yang menjadi penanda aras baharu buat saya apabila layak ke pentas akhir dan lebih manis, berada dalam kalangan tiga teratas.

"Insya-Allah, selepas ini saya ingin kembangkan lagi karier seni saya dan bekerjasama dengan lebih ramai komposer. Sesiapa saja yang nak bekerjasama dan berikan lagu, saya terima," katanya.

Ditanya sama ada mereka berdua akan meneruskan gandingan sebagai penyanyi duo, Wani berkata, semuanya bergantung kepada perbincangan antara syarikat pengurusan, namun dia bakal hadir dengan single baharu dengan Bella sebagai penampilan istimewa.

"Kami masih dalam proses perbincangan untuk hasilkan karya duet memandangkan ada beberapa kekangan contohnya, dari sudut syarikat pengurusan dan sebagainya.

"Insya-Allah, saya akan tampilkan Bella dalam lagu baharu saya selepas ini. Judulnya adalah Fajar dan genrenya adalah 'power ballad' ciptaan Shazee Ishak," katanya.

Bagi Bella, dia sentiasa memberikan tumpuan penuh kepada perjalanan seninya walaupun dihentam dengan pelbagai cubaan serta dugaan besar.

"Mommy Mas Idayu selalu berpesan, dalam melakukan apa sekalipun, paling penting adalah fokus. Itu paling penting.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan segala yang berlaku, tidak mengganggu emosi saya. Mungkin sebab saya berikan tumpuan penuh kepada pemilihan lagu serta konsep ketika berada dalam pertandingan itu," katanya.

Ditanya mengenai detik-detik akhir berada di pentas pertandingan itu, Bella mengimbau kenangan ketika mempersembahkan lagu yang mungkin di luar kotak jangkaan ramai, Let It Go.

"Kami cuma ingin lakukan yang terbaik dan bersyukur kerana dapat menamatkan pertandingan itu sehingga di pentas akhir. Alhamdulillah. Semuanya adalah rezeki buat kami.

"Kami ada banyak lagu dalam senarai simpanan pada ketika itu. Memandangkan tema untuk babak akhir adalah bebas, jadi kami berdua membuat keputusan mempersembahkan lagu

yang sesuai untuk keluarga dan tidak terlalu berat iaitu Let It Go," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 7:00 AM