DUA suspek yang diburu polis. FOTO ihsan polis
DUA suspek yang diburu polis. FOTO ihsan polis
Norzamira Che Noh


Klang: Polis giat mengesan dua suspek kes langgar lari seorang lelaki di kawasan Ambang Botanic, Bukit Tinggi, dekat sini, Ahad lalu.

Dua suspek lelaki yang dikesan dikenali sebagai S Sundar berusia 33 tahun dan S Philip Anthony berumur 24 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan lelaki warga tempatan dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai dilanggar kenderaan di Ambang Botanic.

Katanya, lelaki berkenaan kemudian disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pegawai perubatan.

"Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku jam 6 pagi pada Ahad lalu.

"Mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta jenis BMW yang dipandu oleh lelaki warga tempatan secara sengaja dan bertindak menyeret kira-kira 40 meter sebelum melarikan diri.

"Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua pihak di sebuah kafe di kawasan Bandar Botanik Klang sebelum suspek bertindak melanggar mangsa di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan tubuh badan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami luka di belakang kepala yang menyebabkan pendarahan teruk, luka lengan kiri, ibu jari tangan kanan dan patah tulang rusuk kiri.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah 'severe chest and selvic injuries due to stuck by moving vehicle'.

Hoong Fong berkata, pemeriksaan di tempat kejadian yang dijalankan oleh Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

"Susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis sudah mengenalpasti dua suspek dan dijadikan sebagai 'wanted person'.

"Orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali suspek diminta untuk menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Syed Robart Syed Mohd Zain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 6:59 PM