SERBUAN berkenaan. FOTO Ihsan IPD Klang Selatan
SERBUAN berkenaan. FOTO Ihsan IPD Klang Selatan
Ruwaida Md Zain


Klang: Lain dijanjikan lain pula terjadi kepada enam warga asing yang disyaki menjadi buruh paksa oleh sekumpulan ejen pekerjaan yang aktif di sekitar Klang, baru-baru ini.

Semasa di negara asal, mangsa dijanjikan pekerjaan di kilang dengan tawaran gaji lumayan, namun sebaik tiba di Malaysia, kos perjalanan dan pasport dipotong dari gaji, setiap bulan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kegiatan itu terbongkar susulan risikan operasi membabitkan eksploitasi buruh paksa oleh Bahagian D3 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, di kawasan terbabit.

"Siasatan mendapati, pasport mangsa ditahan oleh ejen dan tiada permit kerja sah sebagaimana dijanjikan oleh pihak ejen semasa di negara asal.

"Mangsa juga disyaki dipaksa kerja lebih masa untuk membayar balik segala kos perjalanan dan pasport," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hoong Fong berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian D3 bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuat serbuan di kawasan Kampung Sungai Udang, di sini, 6.30 petang, Selasa lalu.

"Semasa serbuan, polis menangkap empat suspek terdiri daripada satu lelaki dan satu perempuan warga tempatan, serta satu lelaki dan satu perempuan warga asing, berusia antara 38 hingga 43 tahun, yang juga ejen pekerjaan.

"Polis turut merampas 20 pasport dan wang tunai sebanyak RM 13,600 yang dipercayai gaji pekerja," katanya.

Dalam operasi sama katanya, enam mangsa warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan, berusia antara 24 hingga 44 tahun, diselamatkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 9:48 AM