Najiy Jefri


MENJENGAH usia 31 tahun, penyanyi dan usahawan popular, Sufian Suhaimi sudah mempersiapkan diri untuk menamatkan zaman bujang dan melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan rumah tangga.

Tidak gentar untuk melayari bahtera perkahwinan, Sufian bagaimanapun cuba mempelajari segala tanggungjawab yang perlu dilakukan apabila sudah bergelar suami.

"Nak cakap saya sudah bersedia sepenuhnya saya tak berani sebab selagi tak laluinya kita tak tahu apa yang tidak cukup.

"Tetapi, sebagai lelaki dan Muslim, saya cuba belajar dan persiapkan apa yang perlu untuk melangkah ke fasa seterusnya. Insya-Allah kalau rezeki jodoh tiba awal rasanya sudah tiada alasan untuk saya melambatkan atau menidakkan proses itu," katanya.

Baru-baru ini, Sufian mendedahkan sedang mengenali hati budi seorang wanita berusia awal 20-an.

Sufian berkata, wanita yang kini berkawan rapat dengannya itu juga bakal menamatkan pengajian di peringkat ijazah di sebuah universiti.

Biarpun soalan peribadi sering kali diajukan kepadanya, Sufian bagaimanapun tenang menjawab termasuk soal sasaran untuk menamatkan zaman bujang.

"Saya tak rimas pun dengan pertanyaan ini. Rasanya ini lumrah apabila orang nak tahu mengenai perkembangan seni dan peribadi saya.

"Malah, saya bersyukur apabila masih ada orang nak tahu fasal saya. Cuma perancangan itu masih sama. Sudah tentu bila ada pasangan, kita tak mahu buang masa dan ada niat untuk sampai ke jenjang pelamin.

"Namun, saya tidak terlalu menyusun atau mengira untuk hari itu tiba. Alhamdulillah hubungan yang berlangsung juga baik-baik saja," katanya.

Pendedahan status pelantun lagu Di Matamu ini yang mengaku berkawan dengan wanita bukan dalam kalangan penggiat seni, sekali gus 'menghentikan' segala spekulasi yang mendakwa penyanyi itu menjalin hubungan dengan pelakon, Jasmine Suraya.

Sufian berkata, perkenalannya dengan Jasmine sekadar rakan baik dan tiada hubungan istimewa.

"Hubungan kami masih baik macam dulu. Malah, kami selalu berhubung dan berjumpa. Cuma saya dengan Jasmine tiada hubungan istimewa. Kami selesa berkawan dan foto yang menggambarkan dia nak berkahwin di media sosial miliknya itu, saya sendiri tertarik nak tahu.

"Tapi, apabila saya tanya dia beritahu ia rahsia. Apa pun sebagai kawan saya doakan yang terbaik untuk dia," katanya.

Bantu mangsa keganasan rumah tangga Sufian turut ditanya mengenai nasihat kepada lelaki yang mempunyai perancangan untuk berumah tangga di sebalik isu keganasan rumah yang semakin berleluasa di negara ini.

"Setiap individu perlu ambil tahu mengenai ilmu rumah tangga dan agama Islam. Bagi saya, ajaran Islam merangkumi pelbagai aspek kehidupan yang boleh kita rujuk.

SUFIAN bantu mangsa keganasan rumah tangga baru-baru ini.
SUFIAN bantu mangsa keganasan rumah tangga baru-baru ini.

"Jadi, sebelum nak berkawin, kita faham dulu peranan sebagai ketua keluarga supaya setiap orang mampu menjalankan tanggungjawab dalam mendidik isteri dan anak-anak dengan lebih baik," katanya.

Baru-baru ini, Sufian berpeluang bertemu mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 44, yang terlantar kaku dalam keadaan koma sejak lebih setahun lalu.

Lebih menyedihkan Sufian tidak dapat mengawal perasaan sedihnya tatkala melihat keadaan Jahidah yang tidak memberikan sebarang respons.

Prihatin dengan nasib yang menimpa, Sufian serta syarikatnya, BabyPian tampil dengan inisiatif melancarkan Tabung Kasih khusus bagi meringankan beban keluarga Jahidah.

Sumbangan yang dihulurkan termasuk tabung pendidikan anak mangsa iaitu Eshan Nufail yang kini berusia setahun.

Inisiatif yang dijalankan turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 6:00 AM