NUR Mohamad Hafizan mengikat tali pertunangan dengan Nor Hamizah pada 22 Januari lalu. FOTO Ihsan Nur Mohamad Hafizan Rosli
NUR Mohamad Hafizan mengikat tali pertunangan dengan Nor Hamizah pada 22 Januari lalu. FOTO Ihsan Nur Mohamad Hafizan Rosli
Redzuan Muharam

Bota: "Saya pernah berkenalan dengan wanita lain sebelum ini, namun terpisah di pertengahan jalan.

"Tak sangka pula, ikan dihantar ke rumah jiran di depan rumah akhirnya mengikat kami seterusnya membawa ke jenjang pelamin," kata Nur Mohamad Hafizan Rosli.

Nur Mohamad Hafizan berkata, dia bersyukur dan bertuah kerana bakal berkahwin dengan Nor Hamizah Noor Aminludin Sulong, 25, yang tinggal di depan rumahnya.

Segalanya bermula selepas Nur Mohamad Hafizan memulakan langkah untuk berkenalan dengan Nor Hamizah selepas Aidiladha tahun lalu.

Berkat restu kedua belah keluarga, Nur Mohamad Hafizan dan Nor Hamizah yang menetap di Kampung Parit 14, Titi Gantong di sini, bakal diijabkabulkan, 22 Disember ini.

Berkongsi kisahnya, Nur Mohamad Hafizan berkata, perkenalannya dengan Nor Hamizah tidak lama iaitu hanya tujuh bulan sebelum mengikat tali pertunangan pada 22 Januari lalu.

"Kami memang berjiran, cuma tunang saya baru duduk di rumah keluarganya tahun lalu.

"Kali pertama saya berjumpa dengan tunang ketika keluarga minta hantar ikan ke rumahnya dan waktu itu, saya terus tertarik selepas melihat senyumannya.

"Bagi mendekati tunang, saya dapatkan nombor telefonnya daripada sepupu yang kebetulan bekerja dengannya dan daripada situ, saya mulakan langkah dengan mengirim mesej menerusi aplikasi WhatsApp," katanya dihubungi.

TANGKAP layar kiriman WhatsApp pertama Nur Mohamad Hafizan  kepada Nor Hamizah. FOTO Ihsan Nur Mohamad Hafizan Rosli
TANGKAP layar kiriman WhatsApp pertama Nur Mohamad Hafizan kepada Nor Hamizah. FOTO Ihsan Nur Mohamad Hafizan Rosli

Menurut Nur Mohamad Hafizan, bertitik tolak daripada situ, mereka mengenali hati budi masing-masing sebelum sepakat menjalin hubungan lebih serius.

"Alhamdulillah, salam perkenalan saya disambut dan dalam sebulan selepas berkawan, saya suarakan hasrat untuk meminangnya.

"'Lamaran' saya itu diterima kerana sejak awal perkenalan lagi, tunang sudah beritahu yang dia tak nak berkawan lama.

"Niat kami dipermudahkan apabila keluarga kedua belah merestui hubungan sebaik berterus terang dengan mereka dan hasil perbincangan, kami memilih untuk berumah tangga akhir tahun ini," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Nur Mohamad Hafizan berkata, dia berkongsi kisahnya kerana mengikut trend dibuat oleh pengguna TikTok lain berkaitan perjalanan hubungan dengan pasangan.

"Jadi saya pun cuba buat, cuma tak sangka ramai menonton video hingga ia tular.

"Apa pun, terima kasih kepada semua yang mendoakan kami dan semoga perancangan kami mendirikan rumah tangga dipermudahkan-Nya," katanya.

GAMBAR kenangan ketika Nur Mohamad Hafizan dan Nor Hamizah keluar kali pertama. FOTO Ihsan Nur Mohamad Hafizan Rosli
GAMBAR kenangan ketika Nur Mohamad Hafizan dan Nor Hamizah keluar kali pertama. FOTO Ihsan Nur Mohamad Hafizan Rosli

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 7:05 AM