AZIRA kini mengorak langkah sebagai pelakon filem.
AZIRA kini mengorak langkah sebagai pelakon filem.
Syafil Syazwan Jefri


Sebut saja nama figura Azira Shafinaz, tentu wajah manisnya akan bermain di fikiran.

Bukan sekadar bergelar penyanyi, Azira juga berjaya mencipta nama dan membuktikan bakatnya dalam lakonan dan pengacaraan.

Terbaharu, Azira hadir dengan filem lakonannya yang juga menjadi buah tangan pertamanya sebagai heroin dalam filem iaitu Talbis Iblis.

Berkongsi pengalamannya menjayakan watak Hajar dalam filem arahan Kabir Bhatia itu, Azira turut berkongsi rasa teruja apabila filem terbitan Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures, A Next Start Production dan MM2 Entertainment itu ditayangkan di festival filem antarabangsa.

"Ini adalah filem pertama lakonan saya dan tentunya perasaan saya sangat teruja serta gementar. Saya dah tengok filem ini secara keseluruhan ketika ia ditayangkan di Festival Filem Far East ke-24 yang berlangsung di Itali pada April lalu.

"Saya sendiri rasa sangat sebak sebab sepanjang berkarya sebagai pelakon, saya tak pernah lagi sampai ke tahap itu. Saya tak pernah pergi festival filem bertaraf antarabangsa sebegitu untuk mempromosikan filem. Jadi, apabila dibawa sampai ke tahap itu, memang sangat teruja.

"Walaupun orang di Itali tak faham Bahasa Melayu dan menonton dengan sari kata, mereka kelihatan sangat teruja. Menurut mereka, mereka tak sangka banyak filem Asia yang berkualiti, tetapi tidak diangkat ke peringkat antarabangsa," katanya.

Berkongsi mengenai kisah yang dirungkai dalam Talbis Iblis, Azira berkongsi mengenai watak yang dipegangnya iaitu Hajar dan bagaimana filem ini mengangkat kisah tipu daya iblis kepada manusia.

"Hajar berdepan masalah keluarga sehingga terjatuh dalam masalah sosial. Dia kemudian menjadi liar sehingga hamil anak luar nikah.

"Bertemu Mak Ju (lakonan Nasha Aziz), dia yang pada awalnya ingin menggugurkan kandungan itu mula disuntik dengan erti kasih sayang seorang ibu memandangkan dia sendiri tidak pernah mendapat kasih sayang. Saat itu juga bermula pelbagai insiden menyeramkan dalam kehidupannya.

"Talbis Iblis bukan filem seram yang klise kerana ia bermain dengan emosi dan tidak menampilkan hantu klise seperti yang pernah kita tonton sebelum ini. Jadi, ada keunikannya tersendiri kerana ia mengetengahkan mengenai tipu daya iblis dan bagaimana situasi yang dilalui orang yang tidak beriman," katanya.

Berkongsi lebih lanjut pengalamannya saat membintangi filem itu, Azira mengakui gementar saat berpeluang berlakon bersama Nasha.

"Dalam kalangan semua pelakon yang terbabit, saya paling gementar apabila dapat bergandingan dengan Nasha. Saya tak pernah mengenalinya secara peribadi, tetapi sering melihatnya berjalan di pentas peragaan di acara yang saya hadiri.

"Jadi, apabila dapat peluang untuk berlakon bersamanya, saya rasa sangat teruja. Kali pertama kami bertemu adalah di sesi taklimat untuk watak (character briefing) dan kami saling membantu untuk mendalami watak.

"Kabir juga sangat membantu. Orang cakap, dia adalah pengarah yang rumit. Bagi saya, tak ada orang yang dapat faham 'mata' dia.

AKUI gementar saat berpeluang berlakon bersama Nasha.
AKUI gementar saat berpeluang berlakon bersama Nasha.

Visualnya berbeza setiap hari dan skrip pun banyak diolah," katanya.

Menurutnya, cara kerja Kabir benar-benar menyentuh jiwanya sebagai pelakon.

"Sebenarnya, ada beberapa versi skrip Talbis Iblis untuk mengikut kesesuaian. Sebagai pelakon, saya suka dengan cara kerja sebegitu kerana akan membuatkan saya berikan yang terbaik.

"Sebelum ini saya dah pernah berlakon karya arahan Kabir. Kebetulan ia juga adalah karya seram. Jadi, sedikit sebanyak saya dah faham cara bekerja di bawah Kabir sebagai pengarah dan faham apa yang dia mahukan," katanya.

Malah, itu juga peluang berharga untuknya yang boleh dikatakan baru setahun jagung dalam dunia lakonan dan perfileman.

"Saya sangat berpuas hati dengan penghasilan Talbis Iblis. Saya kongsikan sedikit, sebagai pelakon ada ketikanya kita akan rasa seperti tak ada 'mood' saat hadir ke set. Tapi, untuk filem ini, saya berikan seluruh jiwa saya.

"Bahkan untuk babak aksi pun, saya minta pengarah untuk lakukannya sendiri sebab saya nak berikan titik peluh saya untuk filem pertama ini. Lagipun, saya sendiri pun tak tahu, bila lagi saya akan mendapat peluang sebegini.

"Pada masa sama, saya berjaga-jaga juga memandangkan saya pernah mengalami masalah 'slip disc'. Namun semua langkah berjaga-jaga diambil untuk memastikan keselamatan saya dan ada komunikasi antara saya dengan kru yang bertanggungjawab untuk babak aksi," katanya.

AZIRA dan pelakon Talbis Iblis pada sidang media filem itu baru-baru ini.
AZIRA dan pelakon Talbis Iblis pada sidang media filem itu baru-baru ini.

Sangat menjaga privasi

Ditanya mengenai kerjaya seni muziknya bersama DeFam, Azira berkata, mereka akan hadir dengan buah tangan terbaharu tidak lama lagi.

"Insya-Allah, 1 Oktober nanti, kami akan umumkan sesuatu buat anda. Kali terakhir kami keluarkan single adalah tiga tahun lalu menerusi lagu Panas. Jadi, nantikan sesuatu yang baharu," katanya.

Ditanya mengenai perihal peribadi, Azira berkata, dia lebih selesa untuk mengelakkan sebarang kontroversi dan sehingga kini, masih kekal hidup sendiri tanpa pasangan istimewa.

"Kalau mengenai hal peribadi, tak banyak sebab saya orang yang 'simple'.

Saya juga tak sukakan kontroversi dan sangat menjaga privasi. Apa yang keluar dari mulut saya, itulah dia dan sehingga kini, saya masih solo.

"Saya pun tak mencari pasangan kerana fokus saya adalah kepada karier. Memang saya akui, ada yang bertanya, bila lagi saya berumah tangga. Tapi, jujurnya kalau tak sampai (jodoh) nak buat macam mana. Kawan biar ramai, sayang biar satu.

"Saya sendiri pun tak ada meletakkan sebarang kriteria. Dulu mungkin ada, tetapi sekarang saya lebih selesa kalau ada orang yang boleh terima saya dan keluarga seadanya dan lebih penting, hormat saya kerana karier saya sebagai artis," katanya.

Selain Azira dan Nasha, filem Talbis Iblis turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zul Ariffin, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah.

Filem seram itu ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 20 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 6:00 AM