NIK Izzuddin Omary memadankan wang kertas RM100 ketika di atas Gunung Kinabalu. FOTO Ihsan Pembaca.
NIK Izzuddin Omary memadankan wang kertas RM100 ketika di atas Gunung Kinabalu. FOTO Ihsan Pembaca.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Puzzle paling mahal berjaya diselesaikan."

Demikian kata Nik Izzuddin Omary Nik Omar, 26, apabila berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu sekali gus melengkapkan misinya untuk memadankan imej gunung tertinggi di Asia Tenggara itu yang terdapat pada wang kertas RM100.

Menurutnya, idea mendaki gunung itu dibuat pada saat akhir selepas terinspirasi daripada video yang dimuat naik seorang pengguna laman sosial, Iylialalos.

"Saya ke Sabah pada 5 Januari dan memulakan pendakian pada 7 Januari lalu. Ikut perancangan asal saya ke Sabah tak mahu mendaki pun, tapi tiga minggu sebelum terbang saya tukar.

"Diakui nak mendaki memerlukan mental dan fizikal yang kuat. Apatah lagi nak naik Gunung Kinabalu. Jadi, sebelum ke sana setiap minggu pergi buat latihan mendaki. Alhamdulillah, sewaktu di sana, semuanya okay. Walaupun lima kilometer awal pendakian cuaca hujan.

"Alhamdulillah, saya dapat sampai puncak. Secara keseluruhan ambil masa 12 jam sepanjang tempoh dua hari di Gunung Kinabalu. Bangga juga kerana ini pertama kali jejak kaki ke situ dengan satu misi untuk catatan peribadi," katanya kepada Harian Metro.

NIK Izzuddin Omary ketika mendaki Gunung Kinabalu. FOTO Ihsan Pembaca.
NIK Izzuddin Omary ketika mendaki Gunung Kinabalu. FOTO Ihsan Pembaca.

Menurutnya yang kini menjalani latihan guaman di sebuah firma, selepas ini dia merancang untuk mendaki Gunung Mulu Sarawak yang juga terdapat di wang kertas RM100.

"Saya panggil ia misi melengkapkan puzzle sebab nak tunjuk imej gunung itu. Kalau tengok dalam video tu, saya memang sengaja lipat duit kertas itu dan sampai di puncak saya cantumkan dengan puncak sebenar.

"Selepas ini, sudah semestinya saya nak mendaki Gunung Mulu pula. Barulah lengkap. Dalam perancangan pertengahan tahun ini," katanya.

Menurutnya yang gemarkan aktiviti mendaki, dia turut merancang menawan puncak Gunung Rinjani, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 8:00 PM