PENGUAT KUASA DBKL  mengambil tindakan terhadap penjaja tanpa lesen di ibu kota.
PENGUAT KUASA DBKL mengambil tindakan terhadap penjaja tanpa lesen di ibu kota.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Berulang kali diberikan amaran namun golongan peniaga jalanan haram atau digelar 'penjaja rambo' oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih berkeliaran menjalankan operasi.

Ini dibuktikan apabila anggota penguat kuasa DBKL masih menemui penjaja haram terbabit menerusi operasi membanteras penjaja tanpa lesen sekitar ibu kota sejak Isnin lalu.

DBKL dalam satu kenyataan di Facebook berkata, sepanjang tempoh pemantauan bermula 3 petang kelmarin, penguat kuasa DBKL menyita tiga barangan milik penjaja terbabit.

"Tindakan diambil selepas mendapati penjaja itu tidak mempunyai lesen selain menyebabkan gangguan halangan dan kebersihan di laluan awam utama.

"Selain itu penjaja 'rambo' ini juga menjejaskan aktiviti penjaja berlesen yang turut menjalankan perniagaan di sekitar lokasi berkenaan.

"Justeru, DBKL akan meneruskan kegiatan ini dari semasa ke semasa terutama di kawasan tumpuan awam," katanya.

Isnin lalu, DBKL turut mengambil tindakan sama dengan menyita barangan milik seorang penjaja air di Dataran Merdeka di sini.

Ia berikutan lokasi berkenaan adalah kawasan larangan menjaja kecuali kepada kenderaan saji atau foodtruck.

"Ini untuk memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sementara itu, tinjauan mendapati golongan peniaga tanpa lesen ini kerap berkeliaran menjual air tin atau kotak menggunakan bekas plastik yang diletakkan di atas troli.

Troli itu kemudian akan ditolak ke kawasan tumpuan ramai terutama pada waktu malam dan hujung minggu.

ANTARA barangan yang sita daripada penjaja haram.
ANTARA barangan yang sita daripada penjaja haram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 7:00 AM