Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Seramai 232 kanak-kanak antara 14,707 pesakit kronik di negara ini masih menunggu organ baharu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pengurus Klinikal Pendermaan Organ, Pusat Sumber Transplan Nasional, Dr Muhammad Saiful Asyraff Marzukhi berkata, data terkini setakat September lalu menunjukkan seramai 14,707 pesakit memerlukan organ baharu.

"Jumlah organ paling banyak diperlukan ialah buah pinggang membabitkan 14,456 senarai menunggu pesakit dewasa manakala 228 lagi kanak-kanak.

"Hati dan jantung masing-masing lapan pesakit dewasa manakala empat kanak-kanak memerlukan hati baharu.

"Selain itu, hanya seorang pesakit memerlukan paru-paru manakala dua memerlukan dua organ iaitu jantung dan paru-paru," katanya.

Menurutnya, bermula 1997 hingga September lalu, seramai 2,496 pesakit berjaya mendapatkan organ dan tisu baharu menerusi pendermaan organ.

"Kategori pendermaan yang diambil sejak 2012 hingga September lalu membabitkan 197 organ menerusi kematian akibat mati otak serta 257 organ daripada penderma yang meninggal dunia akibat jantung terhenti," katanya.

Dr Muhammad Saiful Asyraff Marzukhi
Dr Muhammad Saiful Asyraff Marzukhi

Katanya, walaupun jumlah pengikrar organ berdaftar mencecah 520,672 setakat Ogos lalu, jumlah berkenaan belum tentu dapat menampung keperluan organ untuk pesakit di negara ini dan senarai menunggu pesakit.

"Jumlah yang berikrar ini tidak semestinya akan menjadi penderma organ kerana apabila pengikrar itu meninggal dunia, kebenaran pendermaan organ hanya diberikan waris mereka.

"Ini antara kekangan kita untuk proses pendermaan organ, kerana waris hendaklah memberi kebenaran bertulis kepada pihak hospital.

"Jika seorang pengikrar itu tidak memaklumkan warisnya, maka waris sukar membuat keputusan selepas dia meninggal dunia. Jadi penting pengikrar memberitahu niat murni mereka kepada waris masing-masing ketika masih hidup," katanya.

Beliau berkata, ada juga segelintir masyarakat yang masih mempunyai persepsi mengeluarkan organ daripada si mati umpama menyeksa jenazah.

"Ini adalah satu persepsi yang tidak benar kerana jenazah tetap akan melalui proses pembedahan dengan cara hormat dan teliti sama seperti pesakit yang masih hidup

"Selain itu, cabaran lain termasuk halangan daripada keluarga si mati kerana mereka mahu jenazah dikebumikan dengan sempurna.

"Untuk makluman, organ dan tisu si mati akan diambil dan dikembalikan dengan cara yang baik dan terhormat. Maksudnya doktor akan mengendalikan proses berkenaan dengan teliti termasuk menjahit dengan cantik supaya keadaan jasad seperti sediakala," katanya.

Katanya, orang ramai tidak perlu takut atau ragu-ragu menjadi pengikrar organ kerana pemindahan organ dibolehkan semua agama di Malaysia.

"Setiap organ yang dipilih adalah tidak berdasarkan agama, sebaliknya ia akan dipindahkan mengikut kaedah pesakit yang paling sesuai dan mempunyai tahap kejayaan pemindahan paling tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 7:01 AM