Redzuan Muharam

Sungai Buloh: Bapa mithali ini diberhentikan kerja kerana kerap mengambil cuti untuk menjaga anak sakit dan kini menyara keluarga dengan menjual baju terpakai secara dalam talian.

Mohamad Iqbal Adib Mohd Afzanizam, 24, berkata, dia diberhentikan kerja sebagai operator pengeluaran di kilang kaca di sini pada Ogos lalu dan tidak menyalahkan takdir itu kerana kebajikan anaknya, Aydin Malique lebih utama.

Katanya, hampir setahun Aydin Malique yang berusia 15 bulan dirawat di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur sebelum dibenarkan pulang dan dipantau di rumah.

Bayi itu yang juga kembar menghidap Short Bowel Syndrome (SBS) atau sindrom usus pendek yang berpunca daripada najis berdarah.

Kembar Aydin Malique iaitu Aydan Malique tidak menghadapi masalah kesihatan.

"Saya berkahwin dengan isteri (Nur Shahira Anisha Mohamad Zuber, 23) pada 2019 dan pada 12 Jun tahun lalu, kami dikurniakan bayi kembar, Aydan dan Aydin yang dilahirkan pramatang ketika kandungan isteri tujuh bulan.

"Awalnya, bayi kami kedua-duanya sihat, namun selepas dua minggu doktor memaklumkan ada jangkitan kuman pada usus Aydin.

"Sejak lahir, tiga kali Aydin menjalani pembedahan dengan yang pertama bagi memotong usus berukuran 32 sentimeter (sm) dan kedua, membuang usus tidak sihat yang dijalankan di Hospital Selayang.

"Pembedahan ketiga iaitu sambungan usus serta masukkan tiub gestrol dekat perut dijalankan di HTA, dengan usus kecil kini berukuran 14 cm," katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Melayu Batu 13 1/2, di sini.

MOHAMAD Iqbal Adib menguruskan anaknya yang menghidap penyakit sindrom usus pendek. FOTO Genes Gulitah
MOHAMAD Iqbal Adib menguruskan anaknya yang menghidap penyakit sindrom usus pendek. FOTO Genes Gulitah

Mohamad Iqbal Adib mengakui sejak diberhentikan kerja, dia hilang punca pendapatan dan tertekan kerana memikirkan tanggungan termasuk kos rawatan anak.

"Saya cuba jual bundle (pakaian terpakai) kerana ramai rakan cadangkan, memandangkan modal tidak terlalu besar.

"Anggaran gaji bersih ketika kerja kilang dulu kira-kira RM1,400 manakala hasil jualan bundle kini tidak menentu, dengan paling sedikit RM20 dan paling banyak antara RM200 ke RM300 sehari.

"Saya baru belajar berniaga, jadi jual murah-murah saja dengan bersiaran langsung di TikTok," katanya.

Berkongsi keadaan Aydin Malique, Mohamad Iqbal Adib berkata, anaknya itu tidak banyak meragam dan makan seperti biasa, namun biliknya perlu lengkap dengan katil berpalang, mesin susu dan pendingin udara.

Aydin Malique juga minum susu menggunakan tiub yang disambung ke perut dan menggunakan wayar CVL (Central Venous Line) yang menghubungkan saluran darah terus ke jantung.

MOHAMAD Iqbal menjual pakaian bundle bagi menampung kos keperluan keluarga dan juga rawatan anak mereka yang menghidapi sindrom usus pendek. FOTO Genes Gulitah
MOHAMAD Iqbal menjual pakaian bundle bagi menampung kos keperluan keluarga dan juga rawatan anak mereka yang menghidapi sindrom usus pendek. FOTO Genes Gulitah

"Memang kena fokus 24 jam dengan Aydin kerana jika tiub saluran jantung tercabut, dia perlu dibedah lagi.

"Pernah satu tahap, saya hampir putus asa kerana masalah kewangan namun bangkit semula apabila mengenangkan anak kami.

"Pihak zakat ada beri bantuan untuk anak berdasarkan senarai keperluan dan selebihnya hasil sumbangan orang ramai selepas melihat perkongsian saya mengenai Aydin di TikTok.

"Bagaimanapun, ada juga orang tidak senang dan minta saya tidak berkongsi kisah anak di TikTok, sedangkan perkongsian itu sekadar luahan, bukan untuk minta sumbangan atau sedekah," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu Mohamad Iqbal Adib boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7072310580.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 8:00 PM