NANA muncul dengan single baharu.
NANA muncul dengan single baharu.
Sudirman Mohd Tahir


DIA memulakan kerjaya nyanyian seawal usia remaja ketika di bangku sekolah lagi.

Suka, duka, jatuh dan bangun dilalui cukup mematangkan dirinya untuk terus kekal berada dalam industri hiburan tanah air.

Malah, selepas 23 tahun menjadi anak seni, penyanyi popular Siti Nordiana, 38, mampu tersenyum lebar dan bangga apabila kerjaya nyanyiannya masih diterima baik peminat setia dan pencinta muzik dalam negara.

Ia sekali gus meletakkan Siti Nordiana atau mesra disapa Nana menjadi antara penyanyi yang kekal relevan hingga meletakkan dirinya di kelas tersendiri.

Dalam masa sama, dia berjaya mengumpul peminat baharu seiring peredaran zaman.

Dikenali dengan lagu-lagu Melayu yang mendayu, jolokan penyanyi lagu 'leman' yang diberikan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS ketika Nana menyertai program Gegar Vaganza musim kedua (GV 2) pada 2015 melekat hingga kini.

Biarpun ada yang mempersenda, siapa sangka itu adalah rezeki buat Nana yang membawa dirinya untuk terus berkarya hingga memenangi pelbagai anugerah.

"Kalau orang masih panggil saya penyanyi lagu 'leman'

saya bangga. Sekurang-kurangnya saya ada 'cap mohor' yang mana orang boleh mengenali saya. Dalam erti kata lain, ini adalah identiti muzik saya.

"Sama juga apabila Datuk M Nasir secara berseloroh memanggil saya penyanyi lagu 'leman' ketika meminta lagu daripadanya. Bagi saya ia bukan masalah. Bagi yang belum tahu, Tok Ram (Ramli MS) yang mulakan perkataan ini ketika saya di GV2. 'Leman' ini bahasa mudah untuk lagu Melayu yang mendayu. Sampai sekarang orang masih pakai.

"Sedikit pun saya tidak terasa hati. Lagi pula masih ramai orang kalau pergi pusat karaoke memilih untuk menyanyikan lagu 'leman'. Itu juga membuktikan peminat lagu sebegini sangat ramai," katanya.

Menurut Nana, keselesaannya menyanyikan lagu Melayu mendayu atau dari genre balada bukan bermaksud dirinya tidak boleh menyanyikan genre lain.

"Kalau nak kata saya tidak 'versatile', tak boleh juga. Mungkin selama ini orang hanya tahu saya suka menyanyikan lagu Melayu mendayu dan genre balada. Cuma, kalau nak cakap soal 'versatile' dalam nyanyian ada banyak.

"Saya sudah buktikan ketika menyertai GV 2. Pada program itu, saya diberi cabaran menyanyikan pelbagai jenis lagu. Tapi, setiap penyanyi ada 'forte' atau kelebihan masing-masing. Jadi, macam saya lagu 'makanan' adalah yang mendayu, Melayu dan 'leman'.

"Boleh saja menyanyikan lagu genre lain seperti R&B, tapi tidaklah sempurna seperti penyanyi lain. Malah saya percaya peminat juga sukakan kalau penyanyi kesukaan mereka menyanyikan lagu yang selesa buat dirinya," katanya.

NANA pertama kali bekerjasama dengan Datuk M Nasir.
NANA pertama kali bekerjasama dengan Datuk M Nasir.

Dalam perkembangan lain, Nana baharu saja melancarkan single dan video muzik lagu Menyantun Kasih hasil ciptaan komposer ternama, M Nasir dan lirik oleh Keon Omar.

Nana berkata, dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada M Nasir untuk lagu itu.

"Memandangkan ini adalah kerjasama pertama kami, jadi saya meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap M Nasir. Apa saja yang dia bagi saya terima. Sebab saya tahu hasilnya mesti terbaik. Dalam masa sama, saya percaya lagu yang dihasilkan juga dibuat berdasarkan suara dan kemampuan seseorang penyanyi. Jadi, dia tahu macam mana suara dan kelebihan saya.

"Apabila dia bersetuju memberikan lagu, ia satu penghormatan buat saya. Bukan apa, tidak ramai yang berpeluang menyanyikan lagu ciptaan M Nasir. Bagi saya, ini peluang dan kesempatan terbaik buat saya.

"Alhamdulillah, selepas melalui proses panjang ketika merakamkan lagu Menyantun Kasih ini, saya berpuas hati dengan hasilnya. Saya tahu ada sebab kenapa M Nasir meminta saya untuk membuat proses rakaman berulang kali. Ketelitian itu menjadikan sesebuah karya menjadi lebih baik dan berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 6:00 AM