UPACARA perisytiharan Malaysia yang diadakan di Stadium Merdeka.
UPACARA perisytiharan Malaysia yang diadakan di Stadium Merdeka.
Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Hari ini, tarikh keramat pembentukan Malaysia selepas penyatuan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak pada 16 September 1963.

Tempoh 59 tahun yang dilalui Malaysia bukan saja perjalanan yang mudah kerana pelbagai liku perlu ditempuh bagi memastikan negara terus subur dengan keamanan, keharmonian dan kesepakatan dalam pelbagai aspek.

Stadium Merdeka menjadi saksi tarikh penting dalam catatan sejarah negara apabila penubuhan Malaysia dirasmi dan diisytiharkan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Menyorot kembali perjalanan pembentukan Malaysia, ia bermula apabila Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam ucapannya di depan Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961 membayangkan penubuhan sebuah negara yang membabitkan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah.

Pada 23 Julai 1961, mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu & Borneo di Singapura bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephan.

Ia membawa kepada mesyuarat pertama Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang diadakan di Sabah pada Ogos 1961 dan diikuti mesyuarat kedua di Kuching, Sarawak dan yang ketiga diadakan pada 6 dan 7 Januari 1962 di Kuala Lumpur.

Pada 17 Januari 1962, Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak.

Suruhanjaya itu dianggotai oleh lima ahli iaitu Lord Cobbold, Datuk Wong Pow Nee, Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherson.

Pada 21 Jun 1962 Laporan Suruhanjaya Cobbold disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada Julai 1962, kata sepakat berjaya dicapai oleh Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan Tuan Harold Macmillan iaitu Perdana Menteri British bagi mengadakan rundingan.

Perjanjian penting itu ditandatangani di pejabat Komanwel di Malborough House, London oleh wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

SURUHANJAYA Cobbold ditubuhkan pada 17 Januari 1962  bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak.
SURUHANJAYA Cobbold ditubuhkan pada 17 Januari 1962 bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak.

Pada 16 September 1963 upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka dan ia dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman di hadapan rakyat.

Kini, selepas lebih lima dekad penubuhannya, Malaysia semakin dikenali di persada dunia, malah menjadi contoh kepada negara membangun lain dalam pelbagai bidang.

Mendepani cabaran khususnya selepas dunia bergelumang dengan wabak Covid-19, Malaysia sama seperti negara lain di dunia yang kini bertungkus lumus untuk 'membina semula' negara.

Impak kesihatan global itu menyebabkan ramai yang 'tersungkur' malah ada yang hampir berputus asa dalam menempuh cabaran baharu ini.

Dalam kemelut politik yang masih belum dilihat akan reda, kerajaan kini tetap efisyen memberikan pelbagai bantuan untuk memastikan Malaysia kembali ke landasan asal sekali gus kembali menyerlah.

Kesepakatan dan toleransi yang tinggi dalam kalangan rakyat menjadi konsep Keluarga Malaysia tepat pada masanya untuk kita bangkit sebagai sebuah negara yang disegani.

Tidak dinafikan, letusan pengaruh media sosial yang menjadikan maklumat tanpa sempadan menggugat keharmonian yang disemai sejak sekian lama.

Cabaran ini ternyata perlu ditangani dengan baik pemerintah agar anasir luar yang cuba melagakan antara rakyat pelbagai kaum dapat ditangkis sebaik mungkin.

Sentimen kenegerian yang masih wujud dalam sebahagian kecil masyarakat tidak seharusnya dibiarkan kerana ia boleh menjadi barah yang meletuskan suasana tegang dalam kalangan rakyat.

Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam berkata, semangat kekeluargaan dan keharmonian yang dinikmati kini perlu terus dikekalkan dalam suasana kehidupan yang semakin mencabar.

Menurutnya, pasca pandemik adalah tempoh mencabar untuk kerajaan bersama rakyat untuk kembali bersama 'membina' Malaysia agar kembali ke landasan yang tepat.

"Ekonomi negara kini melalui fasa yang sangat mencabar khususnya selepas bergelumang dengan Covid-19 dan ini bukan satu perkara yang pernah dijangka sesiapa.

"Kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan kerajaan perlu lebih agresif mewujudkan dasar jangka pendek dan panjang untuk membantu rakyat yang tersepit," katanya kepada Harian Metro.

Ramlah berkata, sambutan Hari Malaysia tidak seharusnya dianggap sebagai cuti umum dan sambutan semata-mata tanpa ada roh kebersamaan dalam jiwa rakyat.

Katanya, jangan sia-siakan kewujudan negara yang sudah dibina ini hasil keringat, darah dan air mata dengan anasir luar yang hanya menjadi oportunis demi mencapai cita-cita peribadi.

"Hari Malaysia yang disambut setiap tahun perlu ada roh kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat kerana ia akan menjadikan negara kita lebih kuat dalam menempuh pelbagai cabaran masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 8:00 AM