BANGUNAN Residensi ialah kediaman Tunku bersama keluarganya.
BANGUNAN Residensi ialah kediaman Tunku bersama keluarganya.
PLAZA Ukiran Granit Hitam yang mencatatkan peristiwa penting berkaitan Tunku.
PLAZA Ukiran Granit Hitam yang mencatatkan peristiwa penting berkaitan Tunku.
KERETA rasmi Tunku ketika menjadi Perdana Menteri pertama.
KERETA rasmi Tunku ketika menjadi Perdana Menteri pertama.
KEDUDUKAN barangan dalam pejabat Tunku masih dikekalkan.
KEDUDUKAN barangan dalam pejabat Tunku masih dikekalkan.
PEJABAT Perdana Menteri pertama di Petaling Jaya dipindahkan ke Memorial Tunku Abdul Rahman.
PEJABAT Perdana Menteri pertama di Petaling Jaya dipindahkan ke Memorial Tunku Abdul Rahman.
PEN Parker 61 yang digunakan Tunku untuk menandatangani dokumen kemerdekaan.
PEN Parker 61 yang digunakan Tunku untuk menandatangani dokumen kemerdekaan.
PAKAIAN dipakai Tunku ketika upacara pengisytiharan Malaysia pada 16 September di Stadium Merdeka.
PAKAIAN dipakai Tunku ketika upacara pengisytiharan Malaysia pada 16 September di Stadium Merdeka.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Esok, satu lagi hari bersejarah negara iaitu Hari Malaysia akan diraikan dan ini bermakna sudah 54 tahun perisytiharan pembentukan Malaysia yang dilakukan pada 16 September 1963.

Namun, di sebalik peristiwa penting itu ramai dalam kalangan generasi muda tidak mengetahui watak yang memainkan peranan penting sehingga terbentuknya Malaysia pada tarikh berkenaan.

Beliau ialah Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Allahyarham bukan saja Bapa Kemerdekaan tetapi sebenarnya juga adalah Bapa Malaysia.

Ramai tidak mengetahui gelaran kedua Tunku itu kerana Allahyarham lebih dilihat sebagai pejuang kemerdekaan negara yang melaungkan tujuh kali kalimah keramat 'merdeka' ketika pengisytiharan kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956.

Tanpa Tunku berkemungkinan detik bersejarah itu tidak berlaku kerana beliaulah yang mencadangkan penubuhan Malaysia ketika Persidangan Wartawan Luar Negeri dan Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.

Dalam ucapannya pada persidangan itu, Tunku menyatakan Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura perlu disatukan menjadi sebuah gagasan bagi memperkukuhkan kestabilan politik serta memastikan keselamatan negara lebih terjamin.

Tindakan beliau kerana mahu menyekat pengaruh komunis kerana pada masa itu pihak terbabit sedang mencari isu yang boleh digunakan untuk mengganggu gugat ketenteraman di Tanah Melayu.

Pada Julai 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikan Donald Stephen ditubuhkan bagi menjelaskan lebih terperinci mengenai konsep penubuhan Malaysia khususnya kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Kemudian, Suruhanjaya Cobbold yang berperanan mendapatkan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan Malaysia, dibentuk pada Januari 1962 hasil kerjasama di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Kerajaan British.

Lebih 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak bersetuju dengan penubuhan Gagasan Malaysia. Laporan berkenaan dikemukakan kepada Kerajaan British dan Persekutuan Tanah Melayu.

Tunku turut membentuk sebuah jawatankuasa bagi mengkaji laporan (persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak untuk penubuhan Malaysia) yang dipengerusikannya bersama tiga ahli lain termasuk Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Rentetan daripada itu, Perjanjian Penubuhan Malaysia ditandatangani pada Julai 1963 di Malborough House, London.

Sebenarnya, tarikh yang dipersetujui untuk mengisytiharkan Hari Malaysia ialah pada 31 Ogos 1963 tetapi ditangguhkan kerana Laporan Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963.

Disebabkan kelewatan itu, pembentukan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman dan kini dipanggil Hari Malaysia.

Ternyata, sumbangan besar Tunku kepada negara tidak boleh dinafikan dan perlu dihargai. Keputusan kerajaan menubuhkan Memorial Tunku Abdul Rahman sangat tepat bagi mengenang jasa serta peranannya sebagai ketua negara.

Dibina pada 1992 di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur, Memorial Tunku Abdul Rahman mempamerkan semua warisan berkaitan Tunku yang terdiri daripada dokumen, gambar, hadiah, keratan akhbar, pakaian, perabot dan kenderaan.

Memorial berkenaan merangkumi tiga bangunan penting iaitu bangunan Residensi sebagai bangunan utama dan dua bangunan baru di kiri dan kanan bangunan Residensi.

Pegawai Arkib Seksyen Pengurusan Arkib Negarawan Mohamad Faiz Ismail berkata, bangunan Residensi yang berusia lebih 100 tahun itu adalah kediaman Tunku yang didiaminya pada 1956 hingga 1970.

“Bangunan ini menjadi tarikan kepada pelawat kerana keunikannya iaitu selain struktur bangunan yang masih baik, bentuk asal dan kedudukan susun atur di dalamnya masih dikekalkan hingga ke hari ini.

“Difahamkan, bangunan itu adalah bekas kediaman Residen Jeneral pertama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Frank Swettenham,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, bangunan Residensi itu sudah menjadi bangunan warisan negara dan sebab itu bentuk asal bangunan berkenaan dikekal.

Katanya, turut dipamerkan adalah bangunan pejabat lama Tunku ketika beliau menjadi Perdana Menteri yang dipindahkan dari Petaling Jaya ke Memorial terbabit.

“Paling menarik ialah pameran di bahagian luar yang menempatkan kereta jenis Cardillac Fleetwood 1959 yang digunakan Tunku semasa menjadi Perdana Menteri.

“Satu lagi yang perlu dilihat ialah ‘bush jacket’ Tunku yang beliau pakai ketika upacara pengisytiharan Malaysia pada 16 September di Stadium Merdeka,” katanya.

Selain itu Mohamad Faiz berkata, Plaza Ukiran Granit Hitam yang terdapat sebuah ukiran imej Tunku daripada granit hitam dan 32 batu granit mencatatkan peristiwa penting berkaitan Allahyarham.

Orang ramai jangan melepaskan peluang mengunjungi Memorial Tunku Abdul Rahman secara percuma setiap hari kecuali Isnin untuk maklumat lebih lanjut mengenai Perdana Menteri Malaysia pertama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 10:01 AM