NAJIB dan Rosmah. FOTO arkib NSTP
NAJIB dan Rosmah. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk yang dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim berkata, penarikan darjah kebesaran itu dibuat selepas baginda berunding dengan Dewan di-Raja Selangor.

Katanya, Najib dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada 1992.

"Beliau didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang membabitkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd.

"Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang sudah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran SPMS yang membawa gelaran Datuk Seri dan DPMS Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Haris memaklumkan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor SPMS Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri yang dikurniakan pada Datin Seri Rosmah Mansor pada 2005 turut ditarik balik.

Katanya, Rosmah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang membabitkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

"Pada 1 September lalu, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang sudah dijatuhkan terhadapnya, keahliannya ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September.

Dalam kenyataan yang sama, Haris memaklumkan Darjah Kebesaran yang dikurniakan pada Mohd Arif Abd Rahman turut ditarik balik.

Katanya, Mohd Arif dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk - Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2005; Darjah Kebesaran Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) Kelas Ketiga pada tahun 2003 dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor(AMS) Kelas Keempat pada tahun 2001.

"Beliau disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah dan pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahliannya ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September," katanya.

Beliau berkata, penarikan balik dan pembatalan keahlian ketiga-tiga individu berkenaan selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 5:32 PM