KUMPULAN Floor 88 pada program menyambut ulang tahun ke 5 dan perlancaran album dan lagu baru di Studio Rusa Music. FOTO Hazreen Mohamad
KUMPULAN Floor 88 pada program menyambut ulang tahun ke 5 dan perlancaran album dan lagu baru di Studio Rusa Music. FOTO Hazreen Mohamad
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Kumpulan Floor 88 tidak menganggap penyanyi Indonesia, Raffa Affar sebagai 'perosak lagu' sebaliknya dia disifatkan memiliki gaya nyanyian tersendiri.

Floor 88 yang kini muncul dengan album digital, Infinity yang memuatkan 10 lagu popular mereka memaklumkan bakal berduet dengan Raffa tidak lama lagi.

Kumpulan yang dianggotai Ayie Elham sebagai penyanyi, Achoi (gitar), Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua) itu turut menyifatkan Raffa yang popular dengan lagu Cinta Sampai Mati memiliki alunan vokal yang sedap didengar.

Ayie berkata, dia sama sekali tidak merasakan Raffa sebagai 'perosak lagu' kerana percaya setiap penyanyi itu mempunyai gaya nyanyian dan tahap vokal tersendiri.

"Kami memilih berduet dengan Raffa untuk single baharu nanti kerana yakin dengan bakat dan kemampuan nyanyiannya. Bagi kami, kerjasama ini juga satu keputusan tepat untuk Floor 88 cuba menembusi pasaran muzik di Indonesia.

"Sebelum ini, kami dikenali pendengar muzik Indonesia di beberapa tempat seperti Medan, Bandung, Kalimantan, Pontianak dengan lagu Hutang yang tidak disangka-sangka. Jadi, ia satu peluang baik buat kami mencuba nasib ke sana lagi.

"Floor 88 juga mendapat undangan membuat persembahan di Indonesia, tapi takkan kami nak pergi ke sana dengan berbekalkan satu lagu iaitu Hutang saja. Oleh itu, kami fikir adalah wajar untuk jalinan kerjasama ini," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Raffa menjadi perhatian ramai terutama warga maya selepas dia membuat 'cover version' lagu popular Malaysia seperti Buih Jadi Permadani dan Mencari Alasan nyanyian asal kumpulan Exists dan Tiara (Kris) di media sosial yang mendapat pelbagai komen termasuk kecaman netizen.

Mengulas mengenai album digital Infinity itu, Ayie berkata, album itu yang kini boleh didapati di pelantar muzik, Spotify adalah cukup istimewa buat Floor 88 kepada peminat yang setia menyokong mereka selama lima tahun aktif di persada hiburan tanah air.

"Album ini adalah kompilasi terbaik memuatkan 10 lagu popular Floor 88, antaranya Zalikha, Aqilah, Roadblock Hatiku, Yang Benar, Hutang, Original Sabahan, Chikadun, 24434 dan satu single baharu, Sahabat.

Pada mulanya, Floor 88 berhasrat untuk tampil dengan album studio pertama mereka, namun akibat penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar dua tahun lalu, akhirnya ia diubah kepada album digital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 9:37 AM