DPMM tidak boleh mengelak daripada tidak mempedulikan  ekonomi rakyat sebab ekonomi dan perniagaan berkait rapat.
DPMM tidak boleh mengelak daripada tidak mempedulikan ekonomi rakyat sebab ekonomi dan perniagaan berkait rapat.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Semangat kemerdekaan bukan sekadar berjuang mengangkat senjata, bahkan 'pembangun negara' ini juga dianggap sebagai pahlawan.

Juga tidak boleh dinafikan kebenarannya, perjuangan untuk mengukuhkan ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia terutama bangsa Melayu juga adalah satu bentuk kemerdekaan.

Dalam hendak menguasai ekonomi, hakikatnya perlu ada asas yang kuat untuk menyokong perjuangan itu dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang secara rasmi ditubuhkan pada 1957 di bawah nama 'Gabongan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu Se Malaya (GDPMM)' dilihat berperanan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia khususnya bangsa Melayu mengenai kepentingan untuk berjuang dalam ekonomi.

Sejarah pembentukan gabungan DPMM ini bermula seawal 1938 dan pada 1974, melalui langkah penstrukturan, ia ditukar kepada Dewan Perniagaan dan Industri Melayu Malaysia dan nama itu kemudiannya dirombak kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) pada 1992.

Bergiat aktif selama 25 tahun bersama DPMM, tokoh korporat, Datuk Seri Abd Rahman Maidin, 77, berkongsi perjuangannya bersama rakan ahli DPMM dalam mengangkat ekonomi Malaysia untuk memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti perniagaan Melayu malah rakyat secara amnya.

"DPMM melahirkan ramai pemimpin nama besar dalam negara, bahkan perkataan chamber of commerce (dewan perniagaan) itu diiktiraf di peringkat global dan apabila terdapat persidangan antarabangsa kami bangga membawa nama DPMM.

"Institusi ini begitu dihormati semua pihak, baik dalam negara mahupun luar negara, malah rakan ekonomi serantau juga memberi kepercayaan kepada kepemimpinan DPMM untuk menerajui sebarang bentuk perbincangan membabitkan ekonomi serantau.

"Perjuangan ini yang perlu diteruskan bagi mengembalikan semula pengukuhan ekonomi negara khususnya ekonomi bangsa Melayu.

"Negara sudah 65 tahun merdeka dan DPMM ini asas kepada perjuangan ekonomi Melayu kerana badan ini bukan berpaksikan politik, tetapi mampu menggabungkan semua institusi, kepakaran serta menjadi pelaksana ekonomi yang berkait dengan dunia keusahawanan dan perniagaan," katanya yang pernah menerajui syarikat besar seperti Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), STMB (TV3) dan The New Straits Times Press Berhad (NSTP).

Beliau yang menjadi Presiden DPMM Pusat selama sembilan tahun dan lebih 12 tahun dalam pimpinan DPMM begitu mengharap supaya tampok kepemimpinan kini DPMM akan terus menjadi wakil suara rakyat Melayu termasuk bersama dalam semua usaha kerajaan dalam penggubalan dasar ekonomi kerajaan.

"Saya percaya DPMM mampu memperjuangkan ekonomi rakyat dan perniagaan di semua peringkat pemerintahan negara, itu yang membezakan DPMM dan pertubuhan lain kerana kita meminjam nama 'Melayu' dan semangatnya.

"Jika bukan DPMM, siapa lagi yang dapat membela nasib anak bangsa Melayu dan kerajaan memperkenalkan dasar, tetapi kita menjadi pengukur kepada dasar terbabit kerana jika dasar kerajaan tidak berkesan maka yang menjadi mangsa adalah rakyat.

"Ingat bahawa institusi ini perlu dibina untuk kepentingan ekonomi masyarakat, bukan untuk ahli atau usahawan saja dan ilmu di lapangan perlu ada, pimpinan pula perlu berani memberi teguran," katanya.

Mengimbau kenangan ketika zaman kemelesetan ekonomi tahun 90-an, beliau berkata, DPMM diberi penghormatan kerajaan pada waktu itu untuk bersama-sama berbincang mencari penyelesaian, memastikan keterbabitan kepemimpinan dalam semua aspek yang berkaitan ekonomi Melayu.

"Nama Melayu itu diguna pakai, perlu diingat bahawa apabila kita 'letak' nama Melayu maka dewan perniagaan ini khusus untuk kepentingan masyarakat Melayu dan bukan untuk kepentingan ahli kerana ahli pendukung kepada institusi.

"Berani tegur apabila dasar kerajaan tidak sampai kepada golongan sasaran, maka dewan ini sama dengan institusi politik lain yang perlu dipelihara oleh rakyat," katanya.

Beliau berpandangan, DPMM tidak boleh mengelak daripada tidak mempedulikan ekonomi rakyat sebab ekonomi dan perniagaan berkait rapat.

"Selepas merdeka memang kita mencapai tahap yang agak tinggi dan walaupun sekarang ini kita terbantut disebabkan struktur politik dan ekonomi yang agak rapuh, maka rakyat, badan dan institusi rakyat perlu menyuarakan supaya dasar kepemimpinan pelaksanaan kembali kepada menghormati perkataan Melayu itu.

"Sudah tiba masanya institusi ini bangkit semula mewakili suara bangsa Melayu," katanya yang yakin DPMM akan terus menjadi badan dihormati segenap peringkat masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 8:01 AM