GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) meminta agar kerajaan mempertimbangkan untuk pemberian moratorium kadar faedah pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pekerja dalam sektor PKS.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Dr Abd Halim Husin berkata, DPMM juga menerima banyak keluhan daripada pelbagai lapisan masyarakat mengenai kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Katanya, ramai kecewa kerana kerajaan hanya bergantung kepada OPR sebagai cara tunggal untuk menangani inflasi.

"Kami menyokong cadangan Pengerusi Majlis Pemilihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya moratorium diberikan kepada perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"DPMM mencadangkan agar moratorium untuk faedah pinjaman diberi kepada PMKS dan golongan M40 ke bawah oleh bank selama dua bulan bagi setiap kenaikan 25 mata asas.

"Ini menepati tujuan kenaikan OPR iaitu untuk mengurangkan penambahan wang baru oleh bank ke dalam ekonomi.

"Kenaikan kadar faedah untuk pinjaman sedia ada tidak memberi sebarang pengurangan pun terhadap bilangan wang bahkan kenaikan kadar faedah menyebabkan bilangan wang gagal dikurangkan.

"Bilangan wang hanya dikurangkan setiap kali peminjam membayar ansuran pokok dan penambahan bayaran faedah tidak mengurangkan bilangan wang.

"Ia membebankan rakyat lebih-lebih lagi Malaysia mempunyai tahap hutang isi rumah antara tertinggi di Asia Tenggara," katanya.

Menurutnya, DPMM memahami dan menerima keperluan meningkatkan OPR sebagai salah satu kaedah untuk menangani cabaran hari ini, namun pihaknya mendesak kerajaan mencari penyelesaian di luar kotak dengan mengambil kira keluhan pihak yang terkesan teruk daripada penyelesaian mudah oleh pengurusan monetari negara.

Selain itu, beliau berkata disebabkan ringgit menjadi lebih lemah, DPMM juga meminta agar Menteri Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) melakukan intervensi dalam dasar apungan ringgit.

"Kami melihat ini boleh dilakukan dengan menggunakan rizab mata wang asing BNM untuk menurunkan nilai ringgit kepada RM3.80 semula.

"Dasar intervensi ini mestilah dikekalkan hingga kerajaan mengubah dasar penerimaan dan pembayaran eksport supaya ia dapat mengurangkan keterdedahan sektor import kepada tukaran matawang asing," katanya.

"Bagi Pihak DPMM, Penyelidik MTEM telah menganalisis prestasi nilai tukaran ringgit berbanding dollar sejak dasar tambatan RM3.80 kepada AS$1 dan mendapati kali terakhir ringgit mengukuh kepada tahap RM3.80 adalah pada 3 April 2018. Pendek kata, nilai ringgit adalah lemah berbanding sebelum tambatan.

"Sektor import dan eksport negara beroperasi secara berasingan, pengimport tempatan juga terpaksa membeli dolar dengan ringgit mereka.

"Ini memaksa mereka terdedah kepada kenaikan kos kerana nilai ringgit yang amat lemah dan ia berbeza dengan negara Jepun misalnya yang mana sektor import dan eksportnya bersepadu iaitu firma pengimport hanya menggunakan dolar yang dijana firma pengeksport," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 7:16 AM