Asrol Awang


Kuantan: "Insya-Allah, saya difahamkan bapa kepada Rohana adalah warga Malaysia, atas sebab itu jika ada dokumen membuktikannya, ia mudah untuk kita berikan (taraf kewarganegaraan)," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau memberi reaksi itu ketika mengulas kisah Rohana Abdullah, 22, yang dijaga seorang warga emas berketurunan Cina, Chee Hoi Lan, 83, sejak berusia dua bulan dan kini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Hamzah berkata, siasatan terperinci akan dilakukan berhubung taraf kewarganegaraan Rohana kerana dia mesti mempunyai dokumen yang diperlukan.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak boleh memberikan kewarganegaraan secara pukal kerana ada banyak kes yang berlaku di negara ini seperti dihadapi Rohana.

"Angka yang besar (masalah taraf kewarganegaraan) seperti berlaku di Sabah dan Sarawak serta di seluruh negara.

"Dalam kes ini, biar kita buat kajian dan akan bantu kepada mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Rohana (tengah) bersama ibu kandungnya Salimah Usman (kanan) dan ibu angkatnya Chee Hoi Lan. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Rohana (tengah) bersama ibu kandungnya Salimah Usman (kanan) dan ibu angkatnya Chee Hoi Lan. FOTO AMIRUDIN SAHIB

Rohana yang kini bekerja sebagai guru tuisyen, berharap dapat memiliki sekurang-kurangnya kad pengenalan sementara untuk memudahkan kehidupannya.

Kelmarin, gadis itu menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan mengenai kisahnya seperti yang disiarkan Harian Metro.

Menerusi laman Facebook, Ismail Sabri sedia membantu Rohana untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

Rohana dibesarkan dengan baik dan mendapat didikan agama Islam walaupun berbeza agama dengan ibu angkatnya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, wanita Cina, Chee menunjukkan kemurnian hati dan kasih sayang yang tinggi selepas memelihara Rohana sejak berusia dua bulan lagi.

Biar berbeza budaya dan agama, itu tidak menjadi penghalang untuknya menumpahkan kasih sayang kepada remaja itu termasuk menyediakan wang belanja untuk mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

Rata-rata netizen memuji sikapnya yang mengambil tanggungjawab sebagai ibu dan memastikan 'anaknya' itu kekal sebagai seorang muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 1:24 PM