ANTARA video lucu dimuat naik Lame di TikTok. FOTO TikTok Khabane Lame
ANTARA video lucu dimuat naik Lame di TikTok. FOTO TikTok Khabane Lame
Agensi

New York: Bekas pengendali mesin, Khabane Lame kini menjadi pempengaruh nombor satu di TikTok selepas mengumpul 142.8 juta pengikut di platform berkenaan.

New York Post melaporkan Lame, 22, menjadi individu paling berpengaruh di TikTok pada Rabu.

Dia secara rasmi mengatasi penari dari Amerika Syarikat, Charli D'Amelio, 18, yang berada di belakangnya dengan 142.3 juta pengikut.

"Raja nombor satu di TikTok," kata seorang peminat di bawah klip terbaru Lame selepas dia melonjak ke tempat teratas.

Difahamkan, Lame mengaktifkan akaun TikTok selepas kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19 dan banyak berkongsi video lucu di platform berkenaan.

Lame dilahirkan di Senegal pada tahun 2000, sebelum berhijrah bersama ibu bapanya ke Itali pada tahun berikutnya.

Selepas menamatkan sekolah menengah, dia mula bekerja sebagai operator mesin di bandar utara Itali, Turin sebelum dia diberhentikan kerja pada Mac 2020.

"Pandemik baru sahaja bermula dan saya bosan dengan banyak masa, jadi saya mula membuat video di TikTok," kata Lame kepada Forbes dalam satu temu bual pada Mac lalu.

Lelaki muda itu kemudian mula memuat naik klip video parodi di TikTok.

Lame yang sedang belajar Bahasa Inggeris jarang bercakap dalam videonya, jadi klipnya bergantung pada jenaka visual.

"Saya menggambarkan diri saya sebagai seorang yang sederhana, tetapi penuh dengan idea dan inspirasi.

"Membuat orang ketawa sentiasa adalah minat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 7:15 AM