TEGURAN diberikan Dr Hadi Othman kepada salah satu babak lakonan Redza Rosli di TikTok. FOTO Ihsan Dr Hadi Othman
TEGURAN diberikan Dr Hadi Othman kepada salah satu babak lakonan Redza Rosli di TikTok. FOTO Ihsan Dr Hadi Othman
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Banyak sangat ralat dalam babak drama itu dan ia memang mengganggu emosi serta pandangan saya," kata Dr Hadi Othman.

Dr Hadi yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) , Ipoh, Perak memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai teguran disuarakannya kepada salah satu babak dalam drama Bisik Bisik Gelora menerusi perkongsian video di TikTok [email protected].

Menurut Dr Hadi, teguran itu dibuat selepas tularnya video salah satu babak lakonan Redza Rosli, yang jelas sekali menunjukkan kesilapan dalam penggunaan peralatan perubatan.

"Antara kesilapan yang jelas adalah penggunaan tiub pernafasan atau endotracheal tube (ETT) kerana tidak diikat dengan betul pada mulut.

"Dalam perubatan, tiub itu digunakan untuk membantu pesakit yang perlu ditidurkan supaya oksigen daripada mesin ventilator dapat disalurkan menerusi tiub terus ke paru-paru.

"Sebaliknya dalam babak dilakonkan, tiub berkenaan kelihatan tidak diikat dengan betul dan tidak disambungkan dengan mesin ventilator.

"Saiz Ambu Bag (alat bantu pernafasan) digunakan dalam babak itu juga tidak sesuai kerana yang ada itu adalah untuk kanak-kanak sedangkan orang dewasa lebih besar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Dr Hadi, pengarah dan penerbit seharusnya lebih peka dengan hal itu dan boleh menggunakan khidmat penasihat dalam kalangan pengamal perubatan untuk mengelak kesilapan sebegitu dalam penerbitan sesebuah drama mahupun filem.

"Drama itu tentunya menarik jadi tidak hairanlah ia berjaya menambat hati penonton untuk kekal di hadapan televisyen namun kesilapan sebegitu tidak seharusnya berlaku.

"Bukan hanya pengamal perubatan malah ada dalam kalangan orang ramai menyedari kesilapan itu kerana pengetahuan hasil bacaan mereka.

"Saya pernah melihat video belakang tabir pembikinan drama di Korea Selatan dan mereka mengambil doktor sebagai penasihat untuk menegur kesilapan ketika di set penggambaran.

"Jadi, syarikat penerbitan tempatan mungkin boleh mencontohi produksi Korea Selatan itu malah saya sedia jadi penasihat secara sukarela jika diperlukan," katanya.

Dr Hadi berharap, kesilapan sama tidak berulang supaya tiada lagi pertikaian dan perdebatan membabitkan babak perubatan pada kemudian hari.

"Banyak kali sudah saya tegur mengenai kesilapan babak perubatan sebelum ini.

"Mungkin tidak tular dan sampai ke pengetahuan orang awam," katanya.

Selain Redza Rosli, drama Bisik Bisik Gelora turut dibintangi Raysha Rizrose, Gambit Saifullah dan Afifah Nasir.

Drama arahan Riza Baharudin itu ditayangkan di Slot Akasia TV3 bermula 21 Mei lalu menggantikan 7 Hari Mencintaiku 3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 9:18 PM