SHAHRULEZAD ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan yang berlaku. -Foto fail
SHAHRULEZAD ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan yang berlaku. -Foto fail
Sudirman Mohd Tahir


“BARU episod pertama, saya sudah buat ‘sangkak’,” kata pengarah drama Nur 2, Shahrulezad Mohameddin yang mengakui wujud kesilapan dalam bacaan Al-Quran pada awal episod satu yang ditayangkan di slot Samarinda TV3 malam tadi.

Perkara itu dibangkitkan pengguna Twitter, Afifi Hassan yang menegur kesilapan dalam babak itu.

Menurutnya, terdapat beberapa kesalahan besar dan jelas menerusi petikan bacaan surah Al Imran ayat 96 hingga 99.

“Yang khilaf daripada saya. Dengan rasa rendah diri, saya memohon ampun dan maaf atas kecuaian ini.

“Apa pun, saya sudah mengarahkan pihak produksi untuk merakam semula bacaan ayat al-Quran itu dengan betul dan digantikan semula untuk tayangan di tonton.com.my dan iflix,” katanya.

Shahrulezad yang juga pengarah Nur berkata, sebagai pengarah dia bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Apa-apa hal saya ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Sebagai pengarah perlu memikul tanggungjawab ini. Ayat al-Quran bukan sesuatu yang boleh dibuat silap. Silap sebutan jadi lain maksudnya. Esok bakal ditanya nanti. Takutnya. Sudahlah amalan saya tak banyak mana,” katanya.

Nur 2 membariskan pelakon asal seperti Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Noorkhiriah, Azhan Rani dan menampilkan Azar Azmi sebagai Juita.

Drama yang ditayangkan di slot Samarinda, TV3 itu trending di laman Twitter semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 11:20 AM