Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penggambaran drama bersiri Kekasih Hati Mr Bodyguard terbitan Creative Skill Solution Sdn Bhd yang tertangguh hampir empat bulan akan disambung semula dalam waktu terdekat ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Penerbitnya, Suriyati Sidek berkata, setakat ini semua pelakon dan kru yang bakal memulakan kerja sudah memenuhi garis panduan yang diumumkan kerajaan, kelmarin termasuk sudah melengkapkan dua dos vaksin.

"Alhamdulillah, syukur dah boleh sambung semula penggambaran. Hari ini seramai 38 kru dan pelakon diminta untuk menjalani ujian saringan terlebih dulu. Kemudian, kami akan memulakan penggambaran.

"Perancangan awal kami akan ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan minggu depan selepas mendapat kelulusan tapi memandangkan pihak kerajaan umumkan berita gembira ini jadi kami kekalkan lokasi penggambaran di sini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Suriyati juga berharap orang ramai tidak perlu bimbang dengan status salah seorang pelakon drama terbabit iaitu Lana Nodim yang belum menerima suntikan vaksin.

"Babak Lana untuk 20 episod drama ini sudah selesai dirakam sebelum Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) lalu. Jadi tiada keperluan untuk mendapatkan maklumat vaksinasi mengenainya.

"Saya juga difahamkan dia bakal ke luar negara bersama keluarganya. Dia bukan tak mahu ambil suntikan vaksin, tapi dia ada masalah kesihatan dan menyusukan anaknya," katanya.

Dalam masa sama, Suriyati turut mendedahkan drama terbabit kini diarahkan oleh Emi Suffian selepas pengarah terdahulu iaitu Nizam Zakaria tidak dapat meneruskannya.

"Sebenarnya Emi sudah menggantikan Nizam kira-kira dua minggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Perubahan ini disebabkan pengarah sebelum ini tidak dapat teruskan tugasnya dan keputusan itu turut mendapat kelulusan daripada stesen TV,"katanya.

Terdahulu, drama Kekasih Hati Mr Bodyguard di slot Lestary TV3 terpaksa ditangguhkan tayangan berikutan baki penggambaran tidak sempat disiapkan sepenuhnya ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang berkuatkuasa sejak 1 Jun lalu.

Drama berkenaan hanya sempat menemui penonton sehingga episod sembilan dan kini ditayang semula bermula episod satu di TV3.

Drama ini diterajui Redza Rosli, Sharifah Rose, Ungku Hariz, Lisdawati, Lana Nordin dan Zuhairi Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:45 PM