DRAMA Leftenan Zana mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat 25.5 juta tontonan. FOTO Ihsan TV3
DRAMA Leftenan Zana mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat 25.5 juta tontonan. FOTO Ihsan TV3
Sudirman Mohd Tahir


DRAMA Leftenan Zana terbitan JS Pictures Sdn Bhd mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat 25.5 juta tontonan merangkumi siaran televisyen dan platform digital menurut sumber Nielsen Audience Measurement.

Drama lakonan Janna Nick sebagai Leftenan Zana itu meraih ​11. 5 juta penonton iaitu jumlah rating terkumpul sepanjang 16 episod sejak mula bersiaran 8 Februari lalu.

Episod akhir yang ditayangkan pada 15 Mac lalu mencecah ​4 juta ​tontonan.

Lebih membanggakan lagi, jumlah terkumpul tontonan di laman Youtube TV3Malaysia dan Drama Sangat Official juga mencecah ​14 juta tontonan.

Menurut Pengurus Besar, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Siti Nurlisia Mohd Nadzri, kejayaan itu membuktikan TV3 tidak hanya menayangkan drama bertemakan cinta.

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada penonton atas sokongan tanpa henti walaupun ada mengatakan gimik pergaduhan antara penerbit dan pelakon membantu menaikkan lagi jumlah tontonan drama itu.

“Tetapi jika jalan ceritanya tidak bagus, lakonan pelakonnya tidak mantap tidak mungkin drama ini mendapat 22.5 juta tontonan secara keseluruhannya.

“Penerimaan luar biasa penonton menerusi drama Leftenan Zana ini membuktikan TV3 tidak hanya menghidangkan kisah cinta untuk tatapan penonton.

“Terima kasih atas penerimaan yang sangat baik bagi genre drama sebegini dan kami akan berusaha membawakan lagi pelbagai variasi drama menarik untuk anda di masa hadapan dan kekal sebagai stesen televisyen nombor satu negara,” katanya.

Selain Janna, drama itu turut dibintangi Sheila Rusly, Redza Rosli, Tunku Hanis, Hairie Othman, Zarul Husin, Nazrief Nazrie, Aprena Manrose dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 3:14 PM