Redzuan Muharam


Ampang: Selepas 15 tahun menimba pengalaman sebagai pembangun web dan eksekutif Teknologi Maklumat (IT), Mohd Azizul Baharuddin beralih arah dengan menjadi pembuat aksesori serta alat ganti kereta kawalan jauh model pacuan empat roda.

Antara yang dihasilkannya termasuklah replika bumper, fender, rim dan bumbung kereta.

Mohd Azizul, 38, berkata, minatnya bermula sejak diperkenalkan seorang rakan dengan sebuah model kereta kawalan jauh.

Bertitik tolak daripada situ, dia cuba belajar cara pembuatan aksesori berkenaan dan cara mengendali mesin tiga dimensi (3D) melalui video di Youtube yang mengambil masa tiga bulan untuk mahir.

Melihat peluang menjana pendapatan, Mohd Azizul nekad meletak jawatan bagi menumpukan sepenuhnya kepada kerja pembuatan aksesori serta alat ganti kereta kawalan jauh.

"Sebenarnya, saya bermula dengan menghasilkan rantai kunci pada pertengahan 2019 sebelum beralih kepada penghasilan aksesori dan alat ganti kereta kawalan jauh pada awal 2020.

"Selepas belajar selok-belok hingga mahir, saya beli mesin pencetak 3D dan mula menjual produk dihasilkan dengan pada awalnya mengambil tempahan dengan membuat hebahan di Facebook (FB) saja.

"Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambutan amat menggalakkan mungkin kerana ketika itu, orang ramai banyak menghabiskan masa dengan hobi mereka di rumah.

"Jadi, pesanan pun banyak dan bagi memastikan urus niaga berjalan lancar, saya ambil keputusan menjual hasil kerja di platform dalam talian (Shopee)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Sri Putri, Taman Ukay Perdana, di sini, hari ini.

MOHD Azizul menunjukkan kereta kawalan jauh yang siap ditempah pelanggan. FOTO Fathil Asri
MOHD Azizul menunjukkan kereta kawalan jauh yang siap ditempah pelanggan. FOTO Fathil Asri

Menurut Mohd Azizul, ketika itu, pendapatan bulanannya mencecah ribuan ringgit dan pulangan lumayan itu memberinya semangat untuk berusaha lebih keras bagi meraih kepercayaan pelanggan dengan menghasilkan produk berkualiti.

"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, saya beli lagi mesin pencetak 3D hasil pendapatan diterima dan kini mempunyai empat buah kesemuanya.

"Keseronokan dalam bidang ini adalah kerana bekerja sendiri namun cabarannya adalah menghasilkan rekaan kerana memerlukan fokus dan ketelitian tinggi.

"Kebiasaannya, saya akan berpandukan kepada gambar di internet dan saya cuba menghasilkan rekaan mengikut aksesori yang terdapat pada kereta sebenar," katanya.

Bapa tiga anak itu berkata, isteri, Norzilawati Sidek dan keluarganya yang banyak memberi galakan daripada awal hingga kini.

Di samping itu, kejayaan menghasilkan rekaan yang memenuhi permintaan pelanggan juga memberinya semangat untuk terus aktif dalam bidang berkenaan

"Setakat ini, maklum balas diterima daripada pelanggan amat baik dan tiada lagi yang merungut dengan hasil kerja saya.

"Saya juga dapat kepuasan kerana lakukan sesuatu yang kena dengan jiwa walaupun bergiat dalam bidang pengaturcaraan dan pembangunan web.

"Ikutkan memang ada perancangan untuk membuka premis namun tangguhkan dahulu niat itu memandangkan jualan selepas tempoh PKP tidak begitu memberangsangkan seperti sebelum ini jadi fokus kepada dalam talian saja," katanya yang memiliki Diploma Sains Komputer lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 10:02 PM
MOHD Azizul membuat cetakan 3D yang ditempah pelanggannya. FOTO Fathil Asri
MOHD Azizul membuat cetakan 3D yang ditempah pelanggannya. FOTO Fathil Asri