Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Impian Nurul Amal Othman, 36, yang juga jurutera petrokimia ialah untuk menghasilkan kenderaan yang mirip seperti dipaparkan dalam filem.

Untuk projek sulungnya, Nurul Amal menjadikan kereta rentas masa dalam filem 'Back To The Future' (BTTF), DeLorean DMC-12, sebagai panduan.

"Saya memiliki sebuah Ford Laser TX3 keluaran 1994 dan bentuknya yang sporty memberi idea kepada saya untuk mengubahnya menjadi DeLorean.

"Saya ambil masa kira-kira 10 bulan untuk melakukan modifikasi terhadap kereta ini secara berseorangan di hadapan rumah," katanya.

Nurul Amal yang berasal dari Pasir Gudang, Johor berkata, buat permulaan, dia melakukan 'full deadning' iaitu menanggalkan lapisan dalam asal dan memasang penebat bunyi.

JENTERA bayangan DeLorean DMC-12.
JENTERA bayangan DeLorean DMC-12.

Warna asal kereta itu ditukar daripada merah kepada perak.

Nurul Amal kemudian menanggalkan cermin belakang dan diganti dengan gentian kaca binaan khas dan plat aluminium untuk memuatkan replika seakan 'plutonium reactor' dan salur udara.

Komponen reaktor pada bahagian itu dihasilkan dengan teliti termasuk membeli fail model tiga dimensi (3D) skala model 1:8 dan menjadikan ia skala 1:1.

Ia kemudian dicetak menggunakan mesin pencetak bagi menjadikannya ala perkakasan mesin masa.

Oleh kerana bahagian belakang sudah tertutup, Nurul Amal memasang kamera bagi tujuan keselamatan.

DIPOTONG dengan pencetak 3D.
DIPOTONG dengan pencetak 3D.

"Untuk lampu hadapan, saya tukar daripada ciri tunggal menjadi berkembar. Setiap bahagian dilengkapi ciri LED malah saya turut memasang lampu nyalaan siang (DRL).

"Saya juga melengkapkan kereta ini dengan 'flux band' pada bahagian hadapan dan sisi menggunakan saluran paip 'pvc' mengikut reka bentuk bampar kereta.

"Ia ditutup dengan lapisan plat keluli tahan karat berlubang (perforated stainless steel plate)," katanya.

Menurut Nurul Amal, bagi memastikan model berkenaan hampir menyamai DeLorean asal, ia ditambah dengan aksesori seperti pendawaian kabel dan hos.

Secara keseluruhannya, untuk bahagian luaran, ia sudah lengkap dan Nurul Amal kini sedang melakukan pengubahsuaian pada bahagian dalaman secara berperingkat.

INSPIRASI filem Back To The Future.
INSPIRASI filem Back To The Future.

"Selepas ini, saya akan lakukan pendawaian untuk litar pemasaan lengkap dengan paparan monitor dan speedometer. Ia akan dilakukan secara bersepadu berpandukan maklumat daripada buku berkaitan DeLorean yang saya beli.

"Malah, ia juga akan memaparkan tahun masa yang kita ingin kembali. Pada masa sama, ketika kelajuan mencecah 140 kilometer/sejam (km/j), 'flux capacitor' akan menyala seakan-akan dalam filem," katanya yang banyak belajar kerja binaan khas daripada saluran YouTube.

Buat masa ini, anggaran kos yang sudah dibelanjakan ialah RM15,000 dan ia pasti meningkat apabila kerja untuk melengkapi ruang kabin disambung.

Kereta mesin masa ini akan dijadikan koleksi peribadinya dan Nurul Amal bercadang untuk menghasilkan kereta 'The Dark Knight' iaitu Batmobile.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 6:50 AM