Nurul Husna Mahmud


HIASAN dinding berasaskan kayu selalu difikirkan bertepatan dengan konsep tatarias ruang lebih tradisional dan klasik.

Meskipun peminat aksesori berasaskan kayu ramai, namun sebilangan kecil sahaja terfikir atau berani bereksperimentasi menghias dinding dengan aksesori berasaskan material itu.

Sedangkan aksesori menghias rumah berasaskan material kayu memiliki penggayaan unik dan mampu menyuntik pesona mewah pada dinding konkrit yang polos.

Pengasas KERJA KAYU Pallet, Norafiqah Aini Mohammed Zohmi, 32, yang mengusahakan produk hiasan rumah berasaskan kayu bersama suami tercinta, Amar Easykin Mohd Basmi, 35, berkata, hiasan dinding kayu sebenarnya memberi kelainan kepada ruang dihias menerusi cita rasa tampak lebih sofistikated berbanding aksesori lain lebih tipikal.

"Aksesori kayu ada karakter atau ciri-ciri mewah terutama apabila didatangkan dengan rekaan dan perincian unik.

"Berbanding bingkai besi atau kanvas yang menghiasi dinding rumah, saya berpendapat jika aksesori kayu dengan rekaan tersendiri dirasakan lebih ada sentuhan peribadi dan eksklusif.

"Bayangkan selama ini dinding rumah yang dihias dengan kertas dinding atau bingkai gambar, jika menggunakan aksesori atau hiasan kayu berukir pula, 'mood' ruang itu berubah serta-merta," katanya.

Tambah Norafiqah Aini, produk hiasan atau aksesori dinding kayu juga sudah dipelbagaikan baik seringkas jam dinding sehingga kepada panel pembahagi ruang boleh meningkatkan imej ruang terbabit.

"Tidak semestinya ukiran kayu tidak boleh digunakan dalam rumah dengan dekorasi moden.

"Sepanjang saya terbabit dalam industri ini sejak lima tahun lalu permintaan terhadap rekaan kayu juga berubah mengikut generasinya.

KAYU sering dikaitkan dengan hiasan cita rasa konservatif.
KAYU sering dikaitkan dengan hiasan cita rasa konservatif.

"Sekarang saya banyak menghasilkan rekaan kayu dengan motif moden dan urban. Contohnya material masih kayu, tetapi motif atau konsep digunakan adalah industri.

"Kelebihan pula apabila kami menggunakan teknologi mesin Kawalan Numerik Komputer (CNC) memberi kemudahan dalam mendapatkan ukiran lebih baik.

"Mesin CNC membuat pemotongan atas kerja kayu dengan ada tekstur timbul berbanding teknik cetakan laser hanya membuat garisan seperti lakaran pada kayu," katanya.

Malah, dia mengakui penggunaan kayu berlainan dalam menghasilkan aksesori kayu memberi impak berbeza.

"Dalam menghasilkan aksesori kayu ini juga, saya dan suami mendapati setiap kayu ada karakter dan kesesuaian mengikut fungsinya.

NURAFIQAH Aini dan suami berpendapat produk aksesori kayu beri suntikan cita rasa mewah pada tatarias ruang.
NURAFIQAH Aini dan suami berpendapat produk aksesori kayu beri suntikan cita rasa mewah pada tatarias ruang.

"Bagi aksesori hiasan pada dinding boleh dikategorikan sebagai kerja pertukangan halus, material menjadi pilihan utama adalah kayu pain (pine) kerana iranya halus dan rapat.

"Mudah untuk kerja kemasan selain hasilnya lebih baik berbanding kayu tempatan. Kayu tempatan kebiasaannya ira kasar dan sukar untuk dapat permukaan licin.

"Kualiti kayu tempatan kerap kami guna ialah kayu getah kerana ia mudah dibentuk dan ringan sesuai dalam penggunaan pembuatan produk hiasan dinding," katanya.

Menceritakan antara hiasan dinding berasaskan kayu pernah dihasilkan ialah panel dinding untuk kafe Kolej Komuniti Bagan Datuk di Bagan Datuk, Perak.

"Aksesori dinding paling besar kami pernah hasilkan ialah 3 X 43 meter yang mahu 'transform' dinding konkrit dengan panel serta dekorasi kayu.

"Kolej Komuniti Bagan Datuk mahu panel kayu dengan aksesori termasuk jam dinding dengan anggaran keseluruhan bernilai RM18,000.

REKAAN panel kayu di kafe Kolej Komuniti Bagan Datuk, Perak.
REKAAN panel kayu di kafe Kolej Komuniti Bagan Datuk, Perak.

"Mungkin kolej komuniti terbabit satu-satunya di Malaysia mempunyai panel dinding hiasan kayu bersaiz mega," katanya.

Dalam pada itu, Norafiqah Aini menjelaskan rekaan besar lebih mudah dibandingkan aksesori kayu lebih kecil.

"Mana-mana tempat atau negara, kayu masih popular dan walaupun rumah kebanyakannya dibuat daripada konkrit, orang masih mencari sentuhan kayu.

"Cuma dalam kerja kayu ada hadnya untuk rekaan tertentu. Contoh tidak semua imej atau gambar boleh diukir oleh

mesin CNC.

"Lagi kecil dan rumit rekaan atau gambar, lagi sukar atau ada kemungkinan tidak dapat langsung diukir.

"Kami lihat rekaan terlebih dahulu sebelum setuju dengan tempahan atau tugasan diberikan. Kami biasanya buat perubahan pada rekaan atau grafik supaya hasil selepas ukiran dilakukan cantik dan kemas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 7:00 AM