PELANCONG turut tertarik keunikan batik daripada serat nanas. FOTO Fathil Asri
PELANCONG turut tertarik keunikan batik daripada serat nanas. FOTO Fathil Asri
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kebiasaannya, pakaian batik dihasilkan daripada fabrik sutera atau kapas.

Namun evolusi teknologi terkini menyaksikan serat nanas juga boleh diproses untuk menghasilkan materialnya.

Kini terdapat beberapa pengusaha batik yang menghasilkan sendiri fabrik batik berasaskan serat nanas dan ada juga yang mengimportnya dari negara jiran seperti Kemboja dan Vietnam.

Fabrik itu dikatakan memiliki pelbagai kelebihan dan ia turut mendorong Kota Batik (sebelum ini dikenali sebagai AF Batik Arts) untuk memasarkan dalam rekaan pakaian batik di Malaysia.

Pengasas yang juga pengarahnya, Aizat Daniel Daud, 26, berkata, meskipun pakaian batik daripada serat nanas baharu sahaja diperkenalkan ke pasaran namun ia memiliki kelompok penggemar tersendiri.

Kata Aizat Daniel, ini kerana fabrik berkenaan memiliki pelbagai keistimewaan antaranya, susah renyuk dan tampak kemas meskipun sudah dipakai seharian.

ANTARA rekaan kemeja yang dihasilkan daripada serat nanas. FOTO Fathil Asri
ANTARA rekaan kemeja yang dihasilkan daripada serat nanas. FOTO Fathil Asri

"Tidak seperti fabrik sutera yang memerlukan penjagaan rapi dan cucian kering, batik daripada serat nanas boleh dicuci menggunakan mesin basuh.

"Selain itu, ia juga jauh lebih sejuk dan tahan lama berbanding kapas," katanya.

Aizat Daniel berkata, harga batik serat nanas bukan murah kerana kos menghasilkan kain meter dan bercorak mencecah ratusan ringgit.

"Dari segi warna pula, kebanyakan batik daripada serat nanas yang dihasilkan berwarna pastel kerana material berkenaan sukar untuk menyerap pewarna.

"Namun ia bukan satu halangan kerana batik fabrik berkenaan nampak lebih semula jadi dan eksklusif," katanya.

Menurut Aizat Daniel, meskipun harganya lebih mahal namun ia tetap digemari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong luar negara.

KEBANYAKAN koleksi yang dihasilkan menggunakan rona pastel. FOTO Fathil Asri
KEBANYAKAN koleksi yang dihasilkan menggunakan rona pastel. FOTO Fathil Asri

Ia terbukti apabila pakaian batik itu terutama kemeja lelaki laris ketika diperkenalkan pada Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Negara, Mac lalu.

Katanya, sebagai pengenalan, mereka hanya memperkenalkan kain meter pelbagai corak serta koleksi kemeja untuk lelaki.

"Kebanyakan pembeli mengakui tertarik kerana rekaannya lain daripada lain apatah lagi didatangkan dengan corak abstrak dan flora menarik.

"Daripada maklum balas yang diterima, pembeli juga tertarik dengan elemen semula jadi fabrik yang digunakan selain rona pastel menyejukkan mata memandang.

"Ada juga pertanyaan daripada orang ramai mengenai pakaian untuk kanak-kanak, tetapi semuanya masih dalam peringkat kajian kerana perlu meneliti pelbagai aspek termasuk permintaan pasaran," katanya yang turut menerima tempahan mengikut cita rasa pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 7:00 AM