RITA ingin lebihkan bawa watak baik selepas ini.
RITA ingin lebihkan bawa watak baik selepas ini.
Ridzuan Abdul Rahman

Mendengar saja namanya, sudah pasti ada peminat yang teringatkan lakonannya sebagai watak antagonis dalam drama bersiri Ayahanda, Jangan Menangis Cinta (JMC), Tak Sempurna Mencintaimu dan banyak lagi.

Bagaimanapun, sebagai pendatang baharu, Rita Nadira, 25, tetap berjaya membawakan lakonan yang baik untuk watak berbeza sebagai Wardina menerusi drama komedi romantik Kerana Dia Suka yang menggandingkannya dengan Fikry Ibrahim.

"Syukur, saya semakin diterima baik oleh penonton. Drama lakonan saya yang sedang ditayangkan sekarang ada dua iaitu Juliet yang disiarkan di TV1. Saya bawa watak heroin bernama Julia/Juliet.

"Manakala drama Jangan Menangis Cinta kini ditayangkan di slot Megadrama Astro Ria. Saya digandingkan dengan ramai pelakon hebat seperti Remy Ishak, Amyra Rosli dan ramai lagi. Ia akan berakhir pada minggu depan.

"Selepas ini saya akan mulakan penggambaran semula bersama TV3 untuk sebuah telefilem. Insya-Allah untuk telefilem ini saya akan memegang watak utama," katanya yang menyerlah sebagai Mazni dalam Ayahanda yang pernah disiarkan di TV3.

Jika dihitung, hanya sekitar 30 peratus watak baik dibawakan Rita setakat ini berbanding selebihnya watak antagonis atau jahat.

Menyedari tidak boleh terlalu sinonim dengan keadaan ini, Rita merancang untuk melakukan sesuatu demi kebaikan kariernya yang semakin berkembang.

GEMBIRA namanya semakin dikenali peminat.
GEMBIRA namanya semakin dikenali peminat.

"Saya memang dah terfikir perkara ini. Insya-Allah selepas ini pengurus saya suruh saya fokus bawa watak baik pula.

"Sebabnya dari awal menceburi lakonan, kebanyakan watak yang saya bawakan ialah jahat. Mungkin nampak berjaya tapi ia ada risikonya juga. Justeru, saya nak cuba untuk bawa watak baik pula. Kalau ada rezeki tawaran watak baik, saya akan dahulukan," katanya.

Baru-baru ini tercetus isu apabila pelakon, Rozita Che Wan atau Che Ta meluahkan rasa rimas apabila ada karya-karya yang membariskan pelakon yang bukan berasal dari utara, perlu bertutur dalam loghat utara yang kelihatan janggal.

Rita yang berdialog dalam loghat utara menerusi Kerana Dia Suka yang turut dibintangi Che Ta berkata, dia tidak terasa kerana kenyataan ini bukan ditujukan untuknya.

"Saya tahu emak saya untuk cerita itu Che Ta dan bapa pula Fendi Seman yang berasal dari Perlis. Mereka berdua akan cakap utara tapi pengarah beri idea untuk memudahkan lakonan saya.

"Katanya kalau dengan kawan-kawan ketika di Kuala Lumpur, saya boleh cakap macam biasa. Tapi apabila balik kampung, saya kenalah cakap utara.

"Mulanya saya panik juga kerana bukan mudah untuk cakap loghat utara. Tapi saya cuba buat yang terbaik dan bukan terlalu mencuba sangat, jadi percakapan saya tidaklah janggal bunyinya," katanya.

Menurutnya pergaulan dengan Che Ta, Fikry dan ramai pelakon di lokasi banyak membantunya mahir menguasai loghat utara.

"Saya tak terlalu 'over' cakap loghat utara. Syukur saya tak dengar komen negatif daripada penonton. Malah, mereka puji dan kata percubaan yang baik.

"Kalau sekiranya saya ada latihan selama sebulan atau masuk kelas, mungkin saya mampu cakap loghat utara dengan lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 6:00 AM