SANJEEV dan Sadhana Prasad. FOTO Agensi
SANJEEV dan Sadhana Prasad. FOTO Agensi
AFP

New Delhi: Gara-gara mahukan cucu, suami isteri di India memfailkan tuntutan mahkamah terhadap anak dan menantu.

Pasangan itu menuntut jika anak dan menantu tidak melahirkan anak dalam tempoh setahun, mereka akan menuntut ganti rugi bernilai 50 juta rupee (RM2,842,992.47).

Nilai itu sebagai ganti rugi bagi membiayai pendidikan anaknya sehingga bergelar juruterbang, majlis perkahwinan mewah di hotel serta bulan madu anak menantu mereka.

Sanjeev dan Sadhana Prasad berkata, mereka kehabisan wang simpanan untuk membesarkan dan mendidik anak mereka sehingga menjadi juruterbang serta membayar kos majlis perkahwinannya.

Dalam satu petisyen yang difailkan di mahkamah di Haridwar minggu lalu, pasangan itu mahukan bayaran balik kos berkenaan kerana anaknya masih belum dikurniakan anak.

"Anak saya sudah enam tahun berkahwin tetapi mereka masih belum merancang untuk melahirkan anak.

"Sekurang-kurangnya, jika kami mempunyai cucu, kesakitan kami akan dapat ditanggung.

"Kami juga terpaksa membuat pinjaman untuk membina rumah kami dan kini kami melalui banyak kesulitan kewangan. Dari segi mental juga kami agak terganggu kerana kami tinggal bersendirian," kata pasangan itu.

Lapor Times of India, pasangan itu menuntut 50 juta rupee termasuk kos majlis perkahwinan di hotel lima bintang, sebuah kereta mewah dan bulan madu pasangan itu di luar negara serta kos latihan juruterbang di Amerika Syarikat.

Namun, akhbar itu melaporkan, anaknya kembali ke India dan menganggur.

Peguam pasangan itu, Arvind Kumar berkata, petisyen itu akan didengar di mahkamah di utara India, pada 17 Mei.

India mempunyai sistem kekeluargaan kukuh dengan banyak generasi termasuk datuk nenek, anak saudara, ibu saudara dan bapa saudara sering tinggal dalam rumah sama.

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, trend itu berubah dengan pasangan muda lebih suka tinggal berjauhan daripada ibu bapa atau adik-beradik mereka.

Dalam kes ini, pasangan berkenaan memilih untuk bekerja berbanding mempunyai anak dan tinggal di rumah sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 12:39 PM